Isnin, 5 Jun 2017 | 12:07am
MALIM Gunung Kinabalu, Asnih Kintarong menunjukkan kesan kerosakan di rumah lamanya yang rosak teruk akibat gempa bumi di Kampung Kiau Toburi, Kota Belud. - Foto Lano Lan
MALIM Gunung Kinabalu, Asnih Kintarong menunjukkan kesan kerosakan di rumah lamanya yang rosak teruk akibat gempa bumi di Kampung Kiau Toburi, Kota Belud. - Foto Lano Lan
MALIM Gunung Kinabalu, Asnih Kintarong, menunjukkan bahagian dapur rumah lamanya yang rosak teruk akibat gempa bumi di Kampung Kiau Toburi, Kota Belud. - Foto Lano Lan
MALIM Gunung Kinabalu, Asnih Kintarong, menunjukkan bahagian dapur rumah lamanya yang rosak teruk akibat gempa bumi di Kampung Kiau Toburi, Kota Belud. - Foto Lano Lan

8 keluarga mangsa gempa masih harap bantuan rumah

KOTA BELUD: Kesan gempa bumi berskala 5.9 pada 5 Jun 2015 sehingga kini memberi kesan mendalam kepada lapan keluarga di Kampung Kiau Toburi, di sini, apabila terpaksa tinggal di rumah mereka yang rosak dan tidak selamat diduduki.

Lantai rumah terbelah, dinding pecah dan bumbung jatuh akibat gempa bumi itu meninggalkan kebimbangan berpanjangan kepada penduduk di kawasan tanah tinggi berhampiran Gunung Kinabalu terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kiau Toburi, Liam Sumbin, 44, berkata bencana alam itu menjejaskan 52 daripada 120 rumah di kampung berkenaan dengan sembilan dikenal pasti terjejas teruk.

KEADAAN rumah malim Gunung Kinabalu, Asnih Kintarong di Kampung Kiau Toburi, Kota Belud yang rosak teruk sejurus selepas gempa bumi berskala 5.9 pada 5 Jun 2015. - Foto Lano Lan
KEADAAN rumah malim Gunung Kinabalu, Asnih Kintarong di Kampung Kiau Toburi, Kota Belud yang rosak teruk sejurus selepas gempa bumi berskala 5.9 pada 5 Jun 2015. - Foto Lano Lan

Katanya, berdasarkan penilaian pihak berkuasa, sembilan rumah tidak selamat diduduki dan layak menerima bantuan rumah baharu, namun hanya sebuah rumah menerima bantuan hasil sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) setakat ini.

"Bagi rumah yang mengalami kerosakan kecil, semua sudah mendapat bantuan peralatan dan wang ihsan untuk membaiki rumah masing-masing. Ada juga sukarelawan membantu penduduk membaiki rumah mereka selepas gempa bumi itu.

"Lapan rumah yang rosak teruk pula belum dapat rumah baharu, pemiliknya terpaksa mengambil risiko terus tinggal di rumah masing-masing dan membuat pembaikan sendiri memandangkan belum ada bantuan membina rumah diberi setakat ini," katanya kepada BH.

Liam berkata, di peringkat awal selepas gempa bumi itu, ramai penduduk trauma termasuk ada yang meninggalkan kampung dan berpindah ke tempat lain kerana takut gempa susulan yang berterusan.

RUMAH milik malim Gunung Kinabalu, Asnih Kintarong di Kampung Kiau Toburi, Kota Belud yang runtuh sebahagiannya selepas dua tahun gempa bumi berskala 5.9 pada 5 Jun 2015. - Foto Lano Lan
RUMAH milik malim Gunung Kinabalu, Asnih Kintarong di Kampung Kiau Toburi, Kota Belud yang runtuh sebahagiannya selepas dua tahun gempa bumi berskala 5.9 pada 5 Jun 2015. - Foto Lano Lan

Bagaimanapun, katanya, selepas lebih 100 gempa susulan sehingga tahun lalu, penduduk mula terbiasa dengan gegaran dan tidak lagi terlalu bimbang kerana sudah dapat menerimanya sebagai situasi biasa seperti sering dijelaskan pihak berkaitan.

"Dulu setiap kali gegaran susulan, penduduk bertempiaran keluar rumah dan ia berlanjutan beberapa bulan. Namun, selepas lebih 100 gempa susulan, perasaan takut semakin berkurangan dan keadaan hampir kembali normal tahun ini kerana tiada gempa susulan baharu.

"Hanya segelintir penduduk, khususnya mereka yang terjejas teruk akibat gempa bumi itu masih trauma, tetapi kita berharap keadaan mereka pulih apabila pihak berkuasa dapat menunaikan bantuan rumah baharu yang dijanjikan," katanya.

Sehingga kini, ada penduduk di kawasan itu masih trauma terutama mereka yang terjejas akibat kerosakan harta benda dengan ada antaranya sanggup meninggalkan kediaman dan menumpang di rumah saudara atau berpindah ke tempat lain.

KEDUDUKAN rumah penduduk Kampung Kiau Toburi, Kota Belud di kawasan lereng bukit yang menyebabkannya berisiko tinggi terjejas akibat gempa bumi. - Foto Lano Lan
KEDUDUKAN rumah penduduk Kampung Kiau Toburi, Kota Belud di kawasan lereng bukit yang menyebabkannya berisiko tinggi terjejas akibat gempa bumi. - Foto Lano Lan

Malim Gunung Kinabalu yang juga penduduk Kampung Kiau Toburi, Asnih Kintarong, 43, yang kediamannya antara terjejas teruk akibat bencana itu mengakui takut untuk terus tinggal di rumah selepas sebahagian lantai terbelah hingga menyebabkan rumahnya senget.

"Kami berpindah ke rumah saudara tetapi disebabkan tidak mahu menyusahkan mereka kami pulang semula selepas membaiki kerosakan dan membuat sambungan baharu menggantikan bahagian rumah yang roboh.

"Bagaimanapun, hati saya tidak pernah tenteram lebih-lebih lagi berlaku gegaran susulan yang saya bimbang bila-bila saja boleh menyebabkan rumah saya roboh kerana bukit di sini dikatakan berisiko tinggi tanah runtuh," katanya.

Bagaimanapun, Asnih, ibu kepada lima anak berumur 10 bulan hingga 21 tahun itu, kini lega apabila mendapat rumah baharu di lokasi lebih selamat hasil sumbangan sebuah NGO yang prihatin dengan nasib beliau sekeluarga.

Katanya, NGO terbabit menghubunginya pada tahun lalu dan kerja pembinaan rumah menggunakan kaedah Sistem Pembinaan Berindustri (IBS) dimulakan pada akhir tahun dan siap pada Januari tahun ini sebelum mereka berpindah pada Februari lalu.

PENDUDUK Kampung Kiau Toburi, Kota Belud di kawasan lereng bukit terus mengharapkan bantuan rumah yang lebih sempurna. - Foto Lano Lan
PENDUDUK Kampung Kiau Toburi, Kota Belud di kawasan lereng bukit terus mengharapkan bantuan rumah yang lebih sempurna. - Foto Lano Lan

"NGO itu membantu kerana sebelum ini saya pernah tolong mereka mendaki Gunung Kinabalu. Saya bersyukur, lokasi rumah baharu ini lebih selamat dan saya tidak bimbang sangat walaupun berlaku gegaran susulan," katanya.

Mengimbas kejadian dua tahun lalu, Asnih berkata, gegaran kuat hingga menyebabkan lantai rumahnya terbelah berlaku ketika dia bersiap ke Taman Kinabalu di Kundasang untuk melakukan tugas rutin sebagai malim.

Kampung Kiau Toburi yang kedudukannya di lereng Gunung Kinabalu, kira-kira 10 kilometer dari Taman Negara Kinabalu di Kundasang, Ranau adalah antara kampung terjejas teruk akibat gempa bumi itu, selain Kampung Mesilau di Kundasang.

INFO - Gempa bumi berskala 5.9 pada 5 Jun 2017

  • Berlaku pada jam 7.15 pagi
  • Berpusat di Gunung Kinabalu dengan kedalaman 10 kilometer
  • Gegaran kuat dirasai di seluruh Sabah hingga utara Sarawak dan negara Brunei Darussalam
  • 189 pendaki, malim gunung dan kakitangan Taman-Taman Sabah terkandas di Gunung Kinabalu ketika gegaran

  • 18 maut termasuk empat malim gunung iaitu 9 warga Singapura, Malaysia (6), manakala masing-masing seorang dari China, Jepun dan Filipina 
  • Gegaran turut menyebabkan banyak bangunan termasuk sekolah dan hospital serta kedai di sekitar Ranau, Tuaran, Kota Belud, Penampang, Nabawan dan Keningau mengalami keretakan
  • Lebih 100 gempa susulan direkodkan sepanjang dua tahun selepas kejadian gempa bumi utama 
  • Ratusan rumah penduduk di sekitar Gunung Kinabalu khususnya di Kundasang, Ranau, Kota Belud dan Tuaran mengalami keretakan dan kerosakan akibat gempa bumi
Berita Harian X