Ahad, 25 Jun 2017 | 12:02am
PENYANYI Ella, Siti Nurhaliza dan Dayang Nurfaizah.
PENYANYI Ella, Siti Nurhaliza dan Dayang Nurfaizah.

Siti, Dayang, Ella terkenang rumah kena serbu

JADUAL kerja yang padat selain dihambat urusan harian yang tidak pernah selesai sering membataskan tiga srikandi industri muzik iaitu Ella, Datuk Siti Nurhaliza dan Dayang Nurfaizah untuk bertentang mata.

Mengeratkan silaturahim sempena kedatangan hari mulia, BH Plus menghimpunkan tiga penyanyi popular negara ini untuk berkongsi cerita mengenai sambutan Aidilfitri, di samping mengimbau kembali nostalgia pada hari lebaran.

Bagi penyanyi bersuara gemersik, Dayang Nurfaizah, saban tahun apabila menjelang 1 Syawal, kediaman keluarganya di Kuching, Sarawak pasti menjadi tumpuan peminat. Akui Dayang, pintu rumahnya sentiasa terbuka menerima kehadiran tetamu tanpa mengira masa.

"Dayang sentiasa mengalu-alukan kedatangan tetamu pada bila-bila masa. Bimbang jika menganjurkan rumah terbuka, Dayang tidak mampu melayan setiap tetamu yang datang. Kesempatan itu Dayang manfaatkan untuk mengenali mereka dengan lebih dekat.

"Pelbagai ragam tetamu yang datang, malah ada di antara mereka tidak mahu pulang. Tidak kurang, ada yang ringan tulang hingga sanggup membantu di dapur. Dayang pula yang kurang selesa kerana mereka datang sebagai tetamu.

"Paling melucukan, mereka mahu Dayang bersolek dan berdandan seperti yang sering mereka lihat di kaca televisyen atau majalah. Biasalah apabila di rumah, Dayang hanya bersolek ringkas tetapi mereka mahu Dayang bergaya sakan," ceritanya sambil tertawa.

Mahu rakam album raya

PENYANYI, Dayang Nurfaizah pada rakaman Muzik-muzik Raya di Hotel Royal. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PENYANYI, Dayang Nurfaizah pada rakaman Muzik-muzik Raya di Hotel Royal. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Membina reputasi tersendiri, terdetik pertanyaan, tidakkah Dayang menyimpan impian untuk memiliki album raya sebagai pelengkap portfolio seperti yang pernah dihasilkan nama besar antaranya Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Siti Nurhaliza dan Wann.

Penyanyi yang sedang popular dengan lagu Separuh Matiku Bercinta hasil ciptaan Ajai ini mengakui, turut menyimpan hasrat yang sama. Namun, kesukaran mendapatkan sentuhan baharu yang serasi menyebabkan impian itu tertunda.

"Peminat juga lebih meminati lagu raya malar segar. Seandainya berpeluang, Dayang ingin merakamkan semula lagu raya popular seperti Kepulangan Yang Dinanti nyanyian Aman Shah dan Musafir Di Aidilfitri milik Allahyarham S Jibeng.

"Dayang pernah menyanyikan lagu itu ketika menjayakan program TV. Liriknya cukup menyentuh hati. Pasti sebagai penyanyi, Dayang berdoa kesempatan itu akan berpihak nanti," kata Dayang yang hanya bercuti dua minggu kerana terikat dengan komitmen kerja.

Ella rindu suasana kumpul beramai-ramai

PERSEMBAHAN Penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Ella (kanan) pada kemuncak tiga dekad Anugerah Bintang Popular BH 3.0 (ABPBH 3.0) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
PERSEMBAHAN Penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Ella (kanan) pada kemuncak tiga dekad Anugerah Bintang Popular BH 3.0 (ABPBH 3.0) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Andai dulu, Aidilfitri akan diraikan bersama keluarga tercinta di Teluk Gadong, Klang namun sejak menjadi suri hati kepada juruterbang, Azhar Ghazali, lima tahun lalu, rutin 1 Syawal Ratu Rock negara ini berubah.

Untuk berlaku adil, mereka akan membahagikan masa untuk bersama keluarga kedua-dua belah pihak pada hari raya pertama.

"Kebiasaannya, kami akan terlebih dulu beraya bersama keluarga Ella sebelum bertolak ke Muar, Johor untuk menziarahi keluarga sebelah suami. Memang penat, tetapi kami sudah terbiasa melaluinya. Saya akui suasana beraya di Muar lebih meriah, berbanding di ibu kota.

"Menariknya, di sebelah rumah suami ada restoran makanan segera. Dapat juga Ella menjamah menu kegemaran kerana jarang berpeluang menikmatinya ketika berpuasa," katanya.

Teruskan tradisi berkonvoi

Dilahirkan dalam keluarga yang besar, tiada apa yang lebih indah selain berkumpul bersama adik-beradik pada pagi mulia. Meskipun tradisi itu masih diteruskan, suasananya tidak lagi sama apabila masing-masing sudah berkeluarga.

"Ella rindu suasana berkumpul beramai-ramai seperti dulu. Susah untuk mendapat peluang itu lagi dan jika berkumpul, tetap tidak akan lengkap. Pun begitu, tradisi berkonvoi mengunjungi rumah ibu dan bapa saudara yang lebih tua masih dikekalkan," katanya yang bakal beraksi dalam konsert mega di Esplanade, Singapura sempena Pesta Raya, bulan depan.

Sama seperti Dayang, Ella juga jarang membuat rumah terbuka. Akui Ella, ketika zaman kemuncak, dia pernah tidak menang tangan melayan tetamu yang datang.

"Tetapi itu dulu. Apabila sudah berumah tangga, peminat tidak lagi menyerbu sesuka hati. Mereka akan pastikan Ella ada di rumah sebelum datang beraya," katanya.

Siti terkenang arwah bapa

PERSEMBAHAN dari penyanyi, Datuk Siti Nurhaliza pada pusingan akhir konsert Gema Gegar Vaganza musim pertama di Pusat Kovonsyen CIDB. - Foto Nurul Shafina Jemenon
PERSEMBAHAN dari penyanyi, Datuk Siti Nurhaliza pada pusingan akhir konsert Gema Gegar Vaganza musim pertama di Pusat Kovonsyen CIDB. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Lebaran yang kembali bertandang menghadirkan perasaan sayu dalam diri penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin. Kenangan ketika beraya bersama bapa tersayang, Allahyarham Tarudin Ismail yang menghembus nafas terakhir pada tahun 2009 masih terkesan di hatinya.

Sebagai insan yang paling rapat, pemergian arwah bapa meragut sebahagian kekuatan dirinya dan setiap kali 1 Syawal menjelma, hatinya pasti diselubungi kesedihan.

"Saat bersalaman pada pagi raya membuatkan Siti sebak kerana teringat arwah abah. Tidak dinafikan, ia detik paling dinanti namun selepas berkeluarga, tradisi itu masih diteruskan dengan memohon keampunan daripada suami.

"Setiap tahun, saya dan suami akan meraikan Aidilfitri secara sederhana. Apa yang penting, Siti berpeluang meraikannya bersama insan tersayang. Syawal ini, kami akan beraya di Kuala Lumpur terlebih dulu sebelum pulang ke kampung halaman suami di Kedah dan ke Kuala Lipis, Pahang," katanya.

Rumah terbuka dibanjiri 3,000 peminat

Isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini mengakui, masih terkenang memori meraikan Syawal ketika namanya meniti puncak. Pernah pada satu ketika, kediaman keluarganya diserbu hampir 3,000 peminat ketika majlis rumah terbuka.

"Memang tidak menang tangan, malah Siti juga tidak sempat menjamah makanan kerana terlalu sibuk melayan tetamu. Disebabkan terlalu ramai yang hadir, setiap ruang rumah dipenuhi tetamu termasuk dapur," katanya.

Hanya kembali ke tanah air sehari sebelum sambutan 1 Syawal kerana menunaikan umrah bersama keluarga mentuanya di Tanah Suci Makkah, Siti berkata, kenangan berhari raya ketika kanak-kanak paling manis dan indah.

"Seronok dapat berjalan mengelilingi kampung untuk mengutip duit raya. Setiap rumah kami akan singgah. Biarpun penat, namun semua itu hilang apabila jumlah wang yang dikumpul meningkat. Teringin rasanya untuk kembali ke era itu," katanya.

INFO

Dayang Nurfaizah

  • Hanya sempat bercuti dua minggu, berbanding kebiasaan tiga minggu setiap kali meraikan Aidilfitri kerana terikat dengan komitmen nyanyian.
  • Meraikan lebaran di kampung halamannya di Kuching, Sarawak.
  • Album terbarunya, Dayang Nurfaizah menemui peminat sejak 10 April lalu. Album itu menampilkan lagu ciptaan Ajai, Separuh Mati Ku Bercinta sebagai taruhan.

Ella

  • Terlebih dulu meraikan 1 Syawal di kediaman keluarganya di Klang, Selangor sebelum pulang ke kampung suaminya di Muar, Johor.
  • Mula bertudung sejak Ramadan tahun lalu, perjalanan kerjaya nyanyian Ella menjengah tiga dekad masih padat dengan pelbagai aktiviti.
  • Penyanyi berusia 50 tahun itu akan beraksi dalam konsert meraikan tiga dekad pembabitannya di Esplanade, Singapura pada 22 Julai ini. Ia sebahagian daripada siri Pesta Raya, festival kesenian Melayu tahunan yang dianjurkan Esplanade.

Siti Nurhaliza

  • Isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa akan terlebih dulu beraya di Kuala Lumpur, seterusnya pulang ke Kedah menziarahi keluarga suaminya dan Kuala Lipis, Pahang untuk bersama keluarganya.
  • Siti sentiasa mengingatkan diri untuk meraikan Aidilfitri dalam serba sederhana dan cuba mengelak pembaziran.
  • Masih dalam rangka promosi album terbaru, SimetriSiti yang memuatkan lagu taruhan, Segala Perasaan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X