Selasa, 27 Jun 2017 | 12:04am
Produk powerbank. - Foto NSTP/Surianie Mohd Hanif
Produk powerbank. - Foto NSTP/Surianie Mohd Hanif
Produk powerbank. - Gambar hiasan
Produk powerbank. - Gambar hiasan

Power bank wajib pensijilan SIRIM, KPDNKK

KUALA LUMPUR: Bermula tahun depan, semua pengeluar dan pengedar powerbank di negara ini wajib mendapatkan pensijilan SIRIM dan surat kelulusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sebelum memasarkannya.

Ketika ini, powerbank tidak wajib mendapatkan kelulusan SIRIM kerana ia tidak termasuk dalam senarai barangan elektrik di bawah Peraturan-Peraturan Elektrik 1994 yang wajib mendapatkan pensijilan SIRIM.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata jawatankuasa khas yang ditubuhkan di peringkat kementerian selepas pendedahan dibuat BH mengenainya, Disember tahun lalu, kini di peringkat akhir perbincangan.

Jawatankuasa itu mengesyorkan garis panduan kawal selia yang mewajibkan semua pengeluar dan pengedar bateri powerbank di negara ini mendapatkan sijil SIRIM dan kelulusan kementerian diwartakan, tahun depan.

Hamzah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan garis panduan mengawal selia powerbank susulan laporan bersiri BH tahun lalu, yang mendedahkan penjualan barangan elektrik dan elektronik tanpa kelulusan SIRIM di negara ini, boleh menyebabkan pengguna terdedah kepada bahaya.

Beliau berkata, garis panduan mengawal selia bateri sekunder itu wajar dilaksanakan segera untuk melindungi dan menjamin keselamatan pengguna selain memberi ruang kepada peserta industri meningkatkan kualiti produk.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin. - Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin. - Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Produk powerbank. - Gambar hiasan
Produk powerbank. - Gambar hiasan

"Menerusi garis panduan ini, mereka (pengeluar dan pengedar) boleh membawa sampel barangan yang hendak dijual itu kepada Jabatan Standards Malaysia (JSM) dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) untuk ujian bagi memastikan ia tidak lari (mematuhi) daripada standard ditetapkan.

"Selepas mendapatkan pensijilan SIRIM, mereka harus memohon surat kelulusan daripada KPDNKK bagi kebenaran untuk menjual barangan itu. Kita akan menggunakan logo atau cop supaya pengguna dapat membezakan jenis powerbank yang boleh digunakan.

"Kita mahu memastikan segala apa yang kita lakukan adalah mengikut undang-undang. Kementerian juga bekerjasama dengan SIRIM dan JSM dalam menentukan standard yang sesuai," katanya ketika ditemui BH.

Hamzah berkata, penggunaan bateri sekunder yang tidak menepati piawaian tidak boleh dipandang remeh kerana ia boleh membahayakan keselamatan pengguna.

"Walaupun tidak banyak kes serius membabitkan letupan powerbank pada tahun ini, pengguna perlu berhati-hati. Ini kerana pengguna masih keliru dan menganggap bateri pada powerbank dalam pasaran selamat digunakan, sedangkan ia tidak mempunyai sebarang piawaian yang menjamin hak serta keselamatan pengguna.

"Kita mahu pengguna membeli barangan dengan pengesahan rasmi bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.

KERATAN akhbar Berita Minggu.
KERATAN akhbar Berita Minggu.

Baru-baru ini, BH melaporkan seorang remaja, Syamirul Armizie Adenan, 19, maut dipercayai terkena renjatan elektrik daripada telefon bimbit yang sedang dicas menggunakan powerbank di Taman Merbok, Bukit Baru, Melaka.

Dalam kejadian itu, mangsa ditemui mati di bilik tidurnya dengan kesan kulit melecet pada bahu kiri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim dipetik sebagai berkata, kejadian disedari ibu mangsa yang menemui remaja itu dalam keadaan terbaring dengan fon telinga masih bersambung pada telefon pintar yang dalam keadaan bercas pada powerbank.

Kejadian itu mencetuskan pertikaian dalam kalangan netizen, termasuk ada yang mempersoalkan bagaimana powerbank bervoltan rendah boleh menyebabkan kematian.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, sementara menunggu garis panduan dilaksanakan sepenuhnya, pengguna boleh membantu dengan melaporkan peniaga yang tidak beretika ini kepada kementerian supaya kegiatan mereka dapat dibanteras sepenuhnya.

Gerai yang menjual produk powerbank. - Gambar hiasan
Gerai yang menjual produk powerbank. - Gambar hiasan

INFO: Akta Perlindungan Pengguna 1999.

  • Jika barangan yang dijual didapati tidak selamat kepada pengguna, kementerian boleh mengambil tindakan ke atas pengilang, pemborong dan peruncit mengikut Seksyen 21, akta itu.

  • Syarikat boleh dikenakan denda maksimum RM250,000 atau RM500,000 bagi kesalahan kedua, manakala RM100,000 kepada individu atau tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X