Khamis, 29 Jun 2017 | 12:04am

Umat Islam sambut Aidilfitri dalam konflik

KEM pelarian di Ain Issa, utara Raqqa.
KEM pelarian di Ain Issa, utara Raqqa.

KETIKA umat Islam menyambut Aidilfitri dengan penuh kegembiraan, masih ramai saudara seagama menderita, diancam selain hidup dalam keadaan terdesak.

Daripada sejumlah 1.8 bilion umat Islam di seluruh dunia, lebih 100 juta hidup terancam akibat konflik termasuk peperangan dan penindasan.

Syria menyaksikan konflik pelarian terbesar dunia, mengatasi rekod perang dunia kedua, apabila lebih separuh daripada 18.5 juta penduduknya, atau 11 juta terpaksa menjadi pelarian.

Walaupun masih dilanda peperangan, kira-kira 4.8 juta pelarian Syria di luar negara tetap tidak mahu melepaskan peluang untuk pulang ke kampung halaman sendiri.

Bau tanah di Aleppo lebih baik berbanding di sini. Lebih baik saya mati akibat perang berbanding hidup kebuluran di sini," kata seorang pelarian Syria di Turki, Sevsen Um Mustafa, berasal dari Aleppo.

Kira-kira tiga juta pelarian Syria di Turki dibenarkan pulang ke kampung masing-masing sempena Aidilfitri, namun perlu kembali sebelum 14 Julai depan. Jika lewat, mereka perlu mendaftar semula.

PELARIAN Syria di Turki tidak melepaskan peluang untuk pulang ke kampung halaman di Syria.
PELARIAN Syria di Turki tidak melepaskan peluang untuk pulang ke kampung halaman di Syria.

Pihak berkuasa Turki tidak mempunyai maklumat jumlah pelarian Syria yang pulang. Saksi Reuters berkata, sekurang-kurangnya 3,000 orang dilihat melintasi sempadan di Cilvegozu dengan berjalan kaki.

Di Raqqa, Syria, ramai hanya bermimpi menyambut Aidilfitri di rumah sendiri, ketika tentera disokong Amerika Syarikat (AS) bersiap melancarkan serangan terakhir membebaskannya daripada cengkaman Daesh.

"Saya sudah 20 hari di sini dan masih tidur atas tanah. Kem ini panas dan merasa hampir mati pada hujung hari. Hanya roti saja percuma. Mereka yang tiada wang boleh mati kebuluran.

"Saya mahu kembali ke Raqqa dan menyambut Aidilfitri di rumah dan menggembirakan anak-anak," kata Salwa Ahmed, 33, seorang pelarian kem di Ain Issa, terletak 50 kilometer di utara Raqqa.

Di Yaman, kira-kira 21.1 juta atau 80 peratus penduduk negara itu memerlukan bantuan kemanusiaan, kata agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) dengan 2.5 juta daripadanya adalah pelarian.

LEBIH 200,000 penduduk Islam di Marawi, Filipina menyambut Aidilfitri sebagai pelarian.
LEBIH 200,000 penduduk Islam di Marawi, Filipina menyambut Aidilfitri sebagai pelarian.

Terbaru, statistik Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menunjukkan, 1,205 penduduk Yaman maut akibat wabak taun setakat Selasa lalu dengan 179,548 disahkan dijangkiti, sehingga 20 Jun lalu.

Di Semenanjung Gaza, sambutan Aidilfitri tahun ini terjejas teruk selepas Israel mencatu bekalan elektrik sebanyak 40 peratus, susulan tindakan Pihak Berkuasa Palestin (PLO) mengurangkan bayaran.

Bekalan elektrik dicatu kerana Presiden Mahmoud Abbas cuba memberi tekanan kepada pentadbir Hamas, namun tindakan itu menjejaskan dua juta penduduk di wilayah terkepung itu, lebih-lebih lagi ketika umat Islam menyambut Aidilfitri.

Sekatan itu bakal menjejaskan sambutan Aidilfitri di Gaza kerana sebelum bekalan dicatu, penduduk Gaza hanya menikmati empat ke lima jam bekalan elektrik sehari.

Mujur, Turki kini sedang memasang panel suria bagi menyelesaikan masalah bekalan elektrik kronik itu.

Namun begitu, Aidilfitri di Gaza dimeriahkan dengan ketibaan bantuan oleh Turki, selepas Ankara memulihkan hubungan diplomatik dengan Israel Jun tahun lalu.

SAMBUTAN Aidilfitri di Semenanjung Gaza terjejas teruk selepas Israel mencatu bekalan elektrik.
SAMBUTAN Aidilfitri di Semenanjung Gaza terjejas teruk selepas Israel mencatu bekalan elektrik.

Rabu lalu, kapal bantuan Turki dengan 10,000 tan bekalan ke Semenanjung Gaza yang dikepung sejak 2007, berlabuh di pelabuhan Ashdod. Bekalan termasuk bungkusan makanan, tepung, biskut, coklat dan kek.

Kapal itu turut membawa bersama 50,000 pakaian, 18,100 permainan, 32,000 set alat tulis dan lebih 1,000 basikal sebagai hadiah Aidilfitri untuk kanak-kanak.

"Presiden Recep Tayyip Erdogan mahu saudara di Gaza gembira dengan bantuan yang dihantar," kata Duta Turki ke Israel, Cengiz Akın Khamis lalu.

Turki juga merancang membuka hospital terbesar di Gaza hujung tahun ini dan menyediakan loji minyak zaitun kepada petani Palestin di samping membina 320 unit apartmen kekal.

Di selatan Filipina, lebih 200,000 penduduk Islam di Marawi mungkin terpaksa menyambut Aidilfitri sebagai pelarian, susulan tindakan pemberontak Maute menawan bandar itu.

Kerajaan Filipina mengisytiharkan darurat di kawasan itu dan operasi mengepung dan menghapuskan pengganas sudah masuk bulan kedua, sejak 23 Mei lalu.

Setakat ini, 67 penduduk awam dan 26 anggota keselamatan terkorban, sementara sekurang-kurangnya 276 militan berjaya dibunuh, difahamkan terdapat baki kira-kira 100 anggota pengganas masih di bandar itu.

Sementara itu, keadaan sesak dan kotor di pusat perlindungan sementara menyebabkan 19 orang maut. Sebanyak 300 kes cirit birit dilaporkan.

Walaupun tentera Filipina memaklumkan mereka hampir menamatkan operasi, namun tiada jaminan penduduk dapat pulang ke rumah masing-masing menyambut Aidilfitri.

PELARIAN di Yaman kini berdepan ancaman penyakit taun.
PELARIAN di Yaman kini berdepan ancaman penyakit taun.

Info:

  • Seramai 104.7 juta umat Islam di Palestin, Syria, Yaman, Libya, Afghanistan, Republik Afrika Tengah (CAR), Xinjiang (China), Myanmar (Rohingya) dan selatan Filipina diancam peperangan, perang saudara dan penindasan.
  • Sebahagian besar konflik membabitkan umat Islam berlaku di Asia Barat.
  • Penduduk Marawi berjumlah lebih 200,000 orang terpaksa meninggalkan rumah dan perniagaan selepas lelaki bersenjata mengibarkan bendera Daesh membakar bangunan, menembak bukan Islam dan mengepung bandar itu bulan lalu.
Berita Harian X