Jumaat, 7 Julai 2017 | 12:18am

Semua ada pasangan di syurga

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Dan orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Mereka beroleh dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang suci bersih, serta Kami masukkan mereka ke tempat yang teguh yang sentiasa dinaungi." (Surah an-Nisa, ayat 57)

Iman kepada hari akhirat bukan hanya jalan memperoleh pahala istimewa, tetapi pendorong kuat kepada amal soleh dan kebaikan di dunia. Kebaikan di dunia bersambung dengan kehidupan yang menemukan seseorang kepada rahmat Allah SWT dan keadilan-Nya di hujung perhentian.

Contohnya, lelaki yang bersama isterinya dengan niat dan tujuan memelihara kehormatan diri serta agama adalah pasangan yang akan diredai Allah SWT seterusnya mendapat pahala kerananya.

Bahkan, makanan yang dimakan untuk tubuhnya atau diberi makan kepada anak dan isteri akan dibalas ganjaran pahala kerana niat kebaikan disertakan dengannya.

Iman dari hati

Sabda Rasulullah SAW: "Tidak ada sesuatu yang engkau belanjakan dengan tujuan untuk mendapat keredaan Allah melainkan kamu diberi pahala sehingga kepada apa yang kamu suap di mulut isterimu." (Riwayat Bukhari) Orang yang beriman kepada Allah SWT dan mengakui kebenaran rasul-Nya akan masuk ke dalam syurga dengan segala kenikmatan diterimanya sebagai balasan atas usaha mendekatkan diri kepada Tuhan melalui amal soleh dilakukan.

Ini disebabkan jika dengan iman semata-mata, jiwa tidak akan dapat dibersihkan. Oleh itu, iman harus disertai dengan amal soleh yang membuat seseorang sedar keagungan dan kekuasaan-Nya.

Di antara kehendak iman menurut Sayyid Qutb ialah kemunculannya dari dalam hati ke alam nyata melalui amalan soleh. Allah SWT menjelaskan, nikmat bakal diterima mukminin di akhirat nanti antaranya mempunyai isteri yang bersih daripada segala cacat fizikal dan akhlak.

Hidup berpasangan adalah nikmat paling istimewa di dunia. Di dalam syurga nanti, setiap orang mempunyai pasangan masing-masing, tiada penghuni syurga yang berseorangan, sekalipun berseorangan di dunia.

Ahli syurga suci bersih

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan Kami cabut akan apa yang ada di hati mereka dari perasaan hasad dengki sehingga menjadilah mereka bersaudara (dalam suasana kasih mesra), serta mereka duduk berhadap-hadap di atas pelamin masing-masing." (Surah al-Hijr, ayat 47)

Ibnu Kathir mentafsirkan, ahli syurga telah dicabutkan daripada segala dendam kesumat, buruk hati dan permusuhan antara mereka dengan saudara mereka, masing-masing tinggal dalam singgahsana, bertemu muka dan tiada sebarang curiga terhadap satu sama lain.

Hakikatnya, nikmat kehidupan ini terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan nikmat syurga yang ditawarkan oleh Allah SWT. Sebenarnya, keimanan dan amalan soleh seseorang itulah yang mendekatkan mereka kepada syurga Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW: "Di dalam syurga nanti terdapat bilik-bilik apabila berada di bahagian luar akan nampak bahagian dalam dan apabila berada di bahagian dalam akan nampak di bahagian luar. Salah seorang Arab Badwi bertanya: Untuk siapakah bilik-bilik itu? Rasulullah SAW menjawab: Untuk orang yang bercakap baik, memberi makan kepada orang miskin, sentiasa berpuasa dan melakukan solat malam ketika orang lain sedang lena tidur." (Riwayat Ibnu Hibban)

Nikmat sempurna

Allah SWT tempatkan mereka pada suatu tempat yang suasananya panas tidak dingin. Gambaran tempat seperti ini adalah untuk menunjukkan nikmat yang sempurna dan kesenangan hidup yang indah serta penuh kemewahan.

Itulah syurga yang dinyatakan dalam hadis Qudsi: "Aku sediakan kepada hamba-Ku yang soleh, nikmat yang tiada mata pernah melihat, tiada telinga pernah mendengar dan tidak pernah terlintas di hati sesiapa." (Riwayat al-Bukhari)

Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources

Berita Harian X