Sabtu, 8 Julai 2017 | 12:09am

Indah Ruhaila tak fobia bercinta

KUALA LUMPUR: Galau di hatinya sukar untuk ditafsirkan, namun kepedihan apabila ikatan pertunangan yang empat tahun terjalin menemui noktah pada April lalu tidak sesekali membuatkan penyanyi, Indah Ruhaila fobia dengan cinta.

Menerima apa yang berlaku sebagai takdir yang tertulis, bakat yang dicungkil menerusi program realiti, Akademi Fantasia 2013 itu berkata, dia tidak takut untuk kembali bercinta.

Bagi pemilik nama, Siti Ruhailah Hussein, 30, setiap dugaan yang datang mendidiknya supaya tidak mengeluh, sebaliknya lebih positif menghadapi cabaran hidup kerana percaya apa yang berlaku menyimpan hikmah yang tersendiri.

"Setiap yang baik itu datang daripada Allah, manakala yang buruk itu daripada saya sebagai insan yang tidak sempurna. Tidak ada perasaan fobia kerana saya menerima ketentuan ini dengan hati terbuka.

PENYANYI, Indah Ruhaila. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PENYANYI, Indah Ruhaila. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Kekecewaan juga mematangkan saya untuk lebih memahami erti sebuah perhubungan dan ikatan perasaan," katanya mengukir senyuman pada satu pertemuan, baru-baru ini.

Penyanyi Di Sebalik Takdir ini mengakui, berat untuk berkongsi segala yang dirasainya. Baginya, biar semua yang terjadi berlalu pergi, malah dia kini mengumpul semula kekuatan untuk terus bangkit dan merencana kerjaya nyanyiannya.

Dugaan itu juga membentuk Indah supaya belajar menerima kenyataan tanpa menuding jari kepada sesiapa.

"Saya baik-baik saja. Syukur kepada Allah kerana saya masih mampu menjalani hidup seperti biasa. Tiada apa yang berbeza kerana saya tidak mahu terus diulit duka.

"Saya memilih untuk bermuhasabah dan memperbaiki diri. Tidak patut saya menyalahkan orang lain dan sebolehnya, saya cuba mengelak daripada bertindak seperti itu. Lebih baik saya memperbetulkan diri kerana setiap apa yang berlaku adalah aturan Allah yang terbaik untuk hamba-Nya," katanya.

Jauhi seketika media sosial

INDAH Ruhaila memilih untuk tidak aktif di laman sosial kerana ingin memberi dirinya ruang selepas impian ke jenjang pelamin tidak menjadi kenyataan. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
INDAH Ruhaila memilih untuk tidak aktif di laman sosial kerana ingin memberi dirinya ruang selepas impian ke jenjang pelamin tidak menjadi kenyataan. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Indah mengakui, buat sementara waktu, dia memilih untuk tidak aktif di laman sosial kerana ingin memberi dirinya ruang selepas impian ke jenjang pelamin tidak menjadi kenyataan.

Sebagai insan biasa, Indah reda menerima ketentuan kerana dia tidak mempunyai kudrat untuk menafikannya.

"Saya tidak mendiamkan diri, sebaliknya banyak berfikir terutama mengenai perancangan memantapkan lagi kerjaya seni. Lagipun, saya kini bergerak sendiri tanpa pengurus dan banyak hal terpaksa saya uruskan," katanya tenang ketika ditemui, baru-baru ini.

Ditanya bagaimana dia memujuk diri ketika berdepan momen sukar dalam hidup, anak kelahiran Johor itu memilih untuk melakukan perkara yang disukai daripada membiarkan diri berterusan larut dengan kesedihan.

Indah juga sentiasa berfikiran positif dan berusaha untuk tidak membiarkan emosi menguasai diri kerana ia hanya akan menyukarkan lagi luka di hati kembali pulih.

Di sebalik apa yang terjadi, Indah beruntung kerana keluarga dan rakan terdekat tidak menyisihkannya ketika sedang berduka.

"Orang luar tidak mungkin faham apa yang berlaku. Mereka bebas membuat apa saja kesimpulan. Terserah kerana bagi saya, cukup jika keluarga masih di sisi untuk memberikan sokongan. Itu sudah bermakna," katanya.

Urus kerjaya sendiri

INDAH Ruhaila selesa menguruskan sendiri kerjaya seninya untuk memastikan setiap keinginannya dapat diatur dengan lebih kemas. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
INDAH Ruhaila selesa menguruskan sendiri kerjaya seninya untuk memastikan setiap keinginannya dapat diatur dengan lebih kemas. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Enggan terus berbicara mengenai cerita pertunangan yang terlerai, Indah nekad bangkit merencana sebaik mungkin perjalanan kerjayanya selepas bernaung di bawah syarikat rakaman baharu iaitu Nova Music.

Indah berkata, dia juga selesa menguruskan sendiri kerjaya seninya untuk memastikan setiap keinginannya dapat diatur dengan lebih kemas.

"Saya bernaung di bawah Nova Music untuk penerbitan single, tetapi dalam hal berkaitan pengurusan kerjaya, saya lakukan sendiri. Saya sedang melalui fasa perjuangan baharu kerana sebelum ini, saya banyak bergantung kepada pengurusan.

"Saya percaya dengan pengalaman yang ada, saya boleh membawa kerjaya seni ke tahap yang lebih baik. Itu yang saya harapkan," katanya.

SITI Ruhailah Hussein atau lebih dikenali sebagai Indah Ruhaila. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
SITI Ruhailah Hussein atau lebih dikenali sebagai Indah Ruhaila. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

INFO INDAH RUHAILA

  • Nama sebenarnya ialah Siti Ruhailah Hussein.
  • Mempunyai pertalian darah seni dengan Allahyarham Rosiah Chik dan Ayai Illusi.
  • Ikatan tunang dengan lelaki yang hanya dikenali sebagai Mr R berakhir pada April lalu.
  • Antara single yang pernah dihasilkan ialah Percayalah, Di Sebalik Takdir dan Semua Untuk Cinta.
  • Pernah merakamkan album pada 2008 sebelum menyertai rancangan Akademi Fantasia.

Berita Harian X