Rabu, 12 Oktober 2016 | 5:23pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Pelajar istimewa sertai bidang spa, urutan

KOTA BHARU: Tahap penguasaan akademik rendah tidak menjadi halangan bagi pelajar Program Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji membabitkan diri dalam bidang spa dan urutan.

Guru program berkenaan, K A Razhiyah, 57, berkata seramai 14 pelajar berusia 14 hingga 19 tahun terbabit dengan bidang itu walaupun mempunyai kekurangan.

"Mereka berkemahiran dan dapat menerima ilmu diajar dengan baik. Sebagai guru, kita harus bersabar dengan kerenah dan masalah dihadapi mereka.

"Kemahiran spa dan urutan adalah sesuatu yang menarik dan memerlukan ketelitian. Memikirkan kekurangan yang dihadapi, saya dan tenaga pengajar lain sentiasa mengawasi mereka ketika proses pembelajaran atau ketika urutan dan spa dijalankan.

"Kami selalu menerima jemputan menyertai pelbagai program dari pihak yang berminat merasai sendiri rawatan spa dan urutan oleh anak Program Pendidikan Khas ini. Kami biasanya mengenakan bayaran RM5 hingga RM30 bergantung kepada jenis rawatan," katanya.

Bercakap ketika ditemui BH pada program di Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu, di sini hari ini, beliau berkata, wang yang dikumpul akan digunakan untuk meraikan usaha pelajar terbabit.

"Saya berbangga dengan pencapaian mereka dan percaya golongan istimewa juga mampu memiliki kemahiran seperti orang lain. Diharap mereka boleh menggunakan ilmu ini untuk kerjaya masa hadapan, " katanya.

Razhiyah berkata, SMK Panji akan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahun hadapan yang diharap memberi semangat baharu kepada tenaga pengajar untuk terus berkhidmat membangunkan kemahiran pelajar istimewa.

"Apabila sekolah ini diiktiraf sebagai pusat latihan SKM, pelajar perlu menjalani beberapa ujian dan kami harus mencari inisiatif untuk memastikan mereka boleh membaca dan menulis dengan baik untuk lulus ujian berkenaan," katanya.

Berita Harian X