Ahad, 9 Oktober 2016 | 6:01pm

Ops Buaya di Sungai Batang Samarahan

SFC melancarkan operasi khas menangkap buaya di Kampung Sungai Pinang, Kota Samarahan semalam.
SFC melancarkan operasi khas menangkap buaya di Kampung Sungai Pinang, Kota Samarahan semalam.

KUCHING: Sarawak Forestry Corporation (SFC) melancarkan operasi khas menangkap buaya di Kampung Sungai Pinang, Kota Samarahan semalam berikutan ancaman reptilia ganas itu terhadap penduduk setempat.

Difahamkan, operasi itu membabitkan Pasukan Tindakan Khas Hidupan Liar (SWAT) SFC juga susulan insiden kehilangan nelayan sungai, Ismandi Osman, 38, pada 17 September lalu yang sehingga kini masih belum ditemui, dipercayai dibaham buaya.

SFC dalam satu kenyataan sebentar tadi memaklumkan operasi khas berkenaan bertumpu kepada buaya jantan dewasa bersaiz gergasi yang dipercayai membaham mangsa sebelum ini.

Keseluruhannya, seekor buaya dewasa berjaya ditangkap melalui perangkap khas yang dipasang, dengan panjang reptilia itu mencecah 4.5 meter dan berat 600 kilogram." Tumpuan operasi sekitar radius lapan kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang berhampiran Kampung Sungai Pinang dan Kampung Endap," katanya.

Katanya, dalam operasi khas itu, SWAT SFC menyediakan 13 umpan yang akhirnya menjerat seekor buaya jantan berkenaan.

"Ia kemudian dibunuh dan dibelah perutnya untuk tujuan siasatan. Kita berjaya menemui beberapa spesimen tulang dan rambut yang kemudian dihantar untuk ujian forensik," katanya.

Menurut SFC, operasi khas di Sungai Batang Samarahan itu akan diteruskan bagi menangkap beberapa lagi buaya dewasa bersaiz gergasi yang menimbulkan ancaman kepada penduduk setempat.

Berita Harian X