Ahad, 15 Januari 2017 | 1:37pm

719 balak haram dirampas

GAMBAR hiasan pembalakan haram. - Foto IHSAN SFC.
GAMBAR hiasan pembalakan haram. - Foto IHSAN SFC.

KUCHING: Kegiatan pembalakan haram di kawasan Bintulu dan Lawas berjaya dikesan Sarawak Forestry Corporation (SFC) dalam tiga operasi berasingan sepanjang minggu lalu.

Operasi berkenaan dijalankan oleh Pusat Pematuhan Sehenti (OSCC) di kawasan Tubau, Trusan dan Lawas.

Jurucakap SFC berkata, dalam operasi di Jalan Bintulu-Bakun berdekatan Tubau, Khamis lalu, sebanyak 146 balak haram dirampas oleh sepasukan penguat kuasa SFC Daerah Bintulu dan OSCC Tubau.

Katanya, serbuan dilakukan selepas penguat kuasa yang menjalankan rondaan rutin di kawasan terbabit mengesan sesuatu yang mencurigakan.

"Pemeriksaan mendapati tiada lesen pembalakan dikeluarkan di kawasan itu dan balak pelbagai jenis yang ditemui itu dipercayai dicuri dari ladang kelapa sawit berhampiran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam operasi di Lawas, OSCC Trusan dan Lawas dengan kerjasama SFC Wilayah Miri mengesan kegiatan pembalakan haram di Sungai Betanung, Batang Trusan.

Pemeriksaan menemui sebanyak 123 balak pelbagai jenis dalam kawasan berlesen, namun balak berkenaan dianggap haram kerana tapak penebangan belum disahkan untuk kegiatan pembalakan.

Dalam satu lagi operasi di Lawas, OSCC merampas 450 balak pelbagai spesies di Long Ugui yang ditebang tanpa lesen sah.

Kes itu sudah dilaporkan kepada polis dan kesemua balak dirampas sebelum diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak untuk siasatan lanjut.

Berita Harian X