Jumaat, 15 Ogos 2014 | 6:27pm
PENYOKONG The Reds sekali lagi akan menjadi faktor utama kemaraan anak didik Rodgers musim ini- Foto AFP
PENYOKONG The Reds sekali lagi akan menjadi faktor utama kemaraan anak didik Rodgers musim ini- Foto AFP

Previu EPL: Semangat juara The Reds tetap membara tanpa Suarez

Pencapaian EPL musim lalu: Naib juara

Ramalan bagi musim 2014/2015: Kedua/ketiga

(Berdasarkan penilaian unit BH Online)

PEMINAT Liverpool seluruh dunia tidak mungkin dapat melupakan saat kapten Liverpool, Steven Gerrard membuat satu kesilapan amat berharga ketika bertemu Chelsea di Anfield, April lalu.

Pemain berusia 34 tahun itu tergelincir dan jatuh apabila cuba membuat umpanan ke belakang dan Demba Ba tampil mencuri bola itu sebelum menewaskan penjaga gol the Reds, Simon Mignolet pada satu petang Ahad ketika saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) menunjuk ke detik kemuncak.

Liverpool kalah 0-2 kepada anak didik Jose Mourinho dan impian mereka mendakap trofi kejuaraan buat pertama kali selepas 24 tahun musnah daripada saat itu.

Pada hari berkenaan puluhan ribu penyokong setia Liverpool dan juga pengurus pasukan, Brendan Rodgers patah hati. Tetapi untuk Manchester City kekalahan pencabar mereka itu memberi nyawa baru yang kemudian memenangi trofi itu buat kali kedua dalam tempoh tiga musim.

Memori pedih itu masih segar dalam minda penyokong di Merseyside namun ramai percayai kekalahan kepada Chelsea itu

hanya akan mengapikan semangat Gerrard dan rakan sepasukan menggandakan usaha memburu gelaran baru.

Rodgers yang tidak mudah kecewa berkata: "Saya amat lapar ketika ini mahu menjadi juara."

Dia harus percaya pada diri bahawa 'saat kecewa' itu sesungguhnya akan memberi motivasi tambahan kepada dia dan anak didik untuk menamatkan kemarau kejuaraan EPL.

"Perlawanan menentang Chelsea, April lalu akan membangkitkan semangat kami. Sebahagian daripada proses untuk menang adalah dengan kekalahan seperti ini. Ia banyak menyatukan kami menjadi kuat dan lebih berjaya pada masa depan," tambahnya.

Tetapi adalah tidak wajar faktor Chelsea dan keputusan seri 3-3 ketika menentang Crystal Palace dijadikan bahan hujah menyalahkan Liverpool gagal, sebaliknya pengkritik juga harus melihat kepada pencapaian anak didik Rodgers pada 14 perlawanan terakhir di liga, musim lalu.

Untuk pengetahuan ia berakhir dengan 12 kemenangan, satu seri dan satu kekalahan. Prestasi seperti ini lazimnya mampu memberikan mana-mana pasukan gelaran. Harap Liverpool dapat menyerap tekanan dan dengan sedikit tuah, Anfield mungkin kembali cerah nanti.

Tambahan, seperti mana pernah disebut Rodgers, sejarah menunjukkan pasukan yang menjadi juara lazimnya akan menghampiri detik itu.

"Lihat Manchester United, umpamanya. Mereka menang gelaran pada 1993 tetapi pada 1992 mereka hampir mahu julang trofi dan akur Leeds lebih hebat untuk menang pada tahun berkenaan," katanya.

Ketiadaan Luis Suarez yang kini ditambat Barcelona pasti dirasai kerana penyerang itu ada kalanya secara bersendirian memberi beberapa kemenangan kepada Liverpool pada musim EPL lalu dan dikatakan antara sebab utama The Reds mampu mencabar City.

Sudah pasti Liverpool bukan barisan terhebat tanpa penyerang kontroversi dari Uruguay itu, tetapi mereka tetap juga memenangi perlawanan tanpanya, terutamanya sentuhan, Daniel Sturridge sejak di tiba di kelab pada Januari 2013.

Penyerang England itu menjaringkan 21 gol dalam liga, musim lalu dan kini harus sudah bersedia menggalas tekanan selaku penyerang utama pasukan.

Rakan lain seperti Raheem Sterling dan Philippe Coutinho juga harus 'mengganas' untuk menyumbang kemenangan terutama dalam menjana serangan di luar kotak penalti lawan.

Gerrard tidak dinafikan masih menjadi inspirasi pasukan. Tenaga, kepakaran serta pengalamannya harus terus disumbang sekalipun 'igauan April lalu' di Anfield masih menghantui fikiran bekas kapten England itu.

Daripada tambahan kekuatan pasukan dengan pembelian tujuh pemain baharu, Liverpool mampu mencipta apa dilakukan United pada 1993.

The Reds membuka tirai perlawanan menentang Southampton, Ahad ini.

Berita Harian X