Rabu, 17 September 2014 | 8:53pm
KETUA jurulatih skuad bawah 23 negara, Datuk Ong Kim Swee ketika aksi bertemu Laos di Stadium Ansan Wa, hari ini.
KETUA jurulatih skuad bawah 23 negara, Datuk Ong Kim Swee ketika aksi bertemu Laos di Stadium Ansan Wa, hari ini.

Kim Swee mahu pemain kekal fokus temu Arab Saudi

INCHEON: Jurulatih skuad bawah 23 tahun negara Datuk Ong Kim Swee mahu anak didiknya mengekalkan fokus sepanjang kempen temasya Sukan Asia ke-17, terutama pada aksi penutup tirai saingan Kumpulan A menentang Arab Saudi yang dijadual berlangsung di Stadium Goyang pada 21 September.

Beliau menyifatkan perlawanan itu sebagai penting kerana bakal menentukan nasib pasukan Harimau Muda A sama ada layak ataupun tidak untuk mara ke peringkat suku akhir.

"Isu pemain mana yang akan diturunkan pada 21 September ini tidak penting sebaliknya kita mahu turunkan pemain yang mampu membantu pasukan meraih kemenangan pada hari itu," katanya kepada media selepas tamat perlawanan hari ini.

Skuad Harimau Muda berjaya mencatat kemenangan besar selepas mengalahkan Laos 4-0 pada perlawanan kedua peringkat Kumpulan A yang berlangsung di Stadium Ansan Wa.

Beliau berkata Laos berjaya memberi tekanan hebat kepada anak didiknya apabila skuad Harimau Muda A gagal mendapat kedudukan selesa walaupun Malaysia mendahului 1-0 menerusi jaringan Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak pada aksi babak pertama perlawanan.

"Dalam bola sepak, kedudukan 1-0 bukan satu keadaan yang selesa bagi sebuah pasukan lebih-lebih lagi pada separuh masa pertama, ia menimbulkan sedikit kegelisahan kepada saya namun kita berjaya menguasai permainan pada babak kedua perlawanan dan seterusnya meraih kejayaan besar malam ini," katanya.

Kim Swee turut memuji corak permainan pasukan Laos yang tidak kurang hebat apabila berjaya mematahkan serangan pasukan negara pada babak pertama perlawanan.

Sementara itu, pemain pertahanan negara Mohamad Aidil berkata kejayaan menjaringkan gol pertama memberi 'tonik' semangat kepadanya untuk turun dengan lebih bersemangat pada aksi menentang Arab Saudi nanti.

"Kejayaan hari ini memberi lebih keyakinan kepada saya dan juga rakan sepasukan lain dan kami akan cuba dengan sedaya-upaya untuk mengatasi Arab Saudi nanti," katanya.

Mohamad Aidil, yang juga kapten pasukan, menyeru rakan lain mengekalkan fokus sehingga tamat perlawanan dan tidak memandang rendah kehebatan pasukan Arab Saudi. - BERNAMA

Berita Harian X