Jumaat, 19 September 2014 | 9:49pm
KETUA jurulatih skuad kebangsaan, Dollah Salleh (kiri) bersalaman bersama jurulatih pasukan kebangsaan Kemboja, Meas Channa (kanan) sambil disaksikan pengurus Kemboja, Chhaing Pisedth (dua kiri) dan pemain, Um Nichet ketika sidang media perlawanan persahabatan antarabangsa, esok.
KETUA jurulatih skuad kebangsaan, Dollah Salleh (kiri) bersalaman bersama jurulatih pasukan kebangsaan Kemboja, Meas Channa (kanan) sambil disaksikan pengurus Kemboja, Chhaing Pisedth (dua kiri) dan pemain, Um Nichet ketika sidang media perlawanan persahabatan antarabangsa, esok.

Dollah mahu tutup mulut pengkritik

PETALING JAYA: Keazaman skuad Harimau Malaya untuk melakar kemenangan ke atas Kemboja, malam esok akan menutup mulut pengkritik yang lantang mengecam kewibawaan ketua jurulatih Dollah Salleh sebelum ini.

Dollah berkata skuad bimbingannya perlu menangkis kritikan demi kritikan terhadap skuad itu dengan menunjukkan aksi terbaik pada perlawanan persahabatan antarabangsa kelas 'A' itu di Stadium Shah Alam, bermula 8 malam.

Selepas kalah 1-4 kepada Tajikstan dan 0-2 kepada Indonesia dalam dua perlawanan persahabatan sebelum ini, jurulatih kelahiran Melaka itu berkata beberapa pemain yang belum merasai dua perlawanan sebelum ini akan diberi peluang.

"Sudah tentu, kita kena menang ke atas Kemboja... kalau tidak pengkritik (bola sepak tempatan) akan terus membidas skuad negara termasuk saya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat pengurus pasukan perlawanan itu di Wisma FAM di Kelana Jaya, dekat sini, hari ini.

Bekas pengendali PDRM itu turut percaya, hanya dengan kemenangan dan persembahan terbaik saja mampu memulihkan rentak persembahan hambar skuad Harimau Malaya dalam dua perlawanan persahabatan sebelum ini.

Dollah berkata empat pemain terpaksa disisihkan pada aksi menentang Kemboja setelah disahkan mengalami kecederaan iaitu penjaga gol, Azizon Abdul Kadir, pemain pertahanan, Mohd Muslim Ahmad dan Zairul Fitree Ishak serta pemain sayap, S Chanturu.

Beliau turut berharap agar penyerang prolifik negara, Mohd Safee Sali akan kembali menemui sentuhan jaringan selepas gandingan bersama Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd Amri Yahyah gagal mencipta impak dalam perlawanan terdahulu.

Selain Kemboja, skuad Harimau Malaya dijangka berdepan Jordan pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Oktober ini.

Perlawanan persahabatan itu menjadi persediaan Dollah bagi menghadapi Kejohanan Piala AFF Suzuki 2014 yang dijadualkan di Singapura dan Vietnam dari 22 November hingga 20 Disember ini.

Malaysia berdepan laluan sukar pada kejohanan membabitkan negara rantau Asia Tenggara itu selepas diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan Singapura dan juara tiga kali Thailand dan pemenang dari pusingan kelayakan.

Pusingan kelayakan Piala AFF Suzuki, Oktober ini membabitkan lima negara iaitu Myanmar, Brunei, Timor Leste, Kemboja dan Laos dengan dua slot terakhir menjadi rebutan pasukan bertanding.

Sementara itu, penolong jurulatih Kemboja, Meas Channa berkata perlawanan persahabatan itu turut menjadi sebahagian daripada persediaan pasukan itu menghadapi pusingan kelayakan Piala AFF Suzuki di Laos dari 12 hingga 20 Oktober ini.

"Perlawanan dengan Malaysia esok adalah penting bagi kami menilai dan memilih pemain terbaik bagi menghadapi pusingan kelayakan nanti. Saya harap semua pemain akan menampilkan aksi terbaik masing-masing," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X