Ahad, 19 Oktober 2014 | 4:22pm

Saat ghairah Kedah, Pahang cari modal selesa separuh akhir

PENYOKONG menunjukkan tiket mereka menjelang perlawanan bola sepak Piala Malaysia separuh akhir pertama di antara Kedah dan Pahang di Stadium Darulaman - Foto Amran Hamid
PENYOKONG menunjukkan tiket mereka menjelang perlawanan bola sepak Piala Malaysia separuh akhir pertama di antara Kedah dan Pahang di Stadium Darulaman - Foto Amran Hamid

KUALA LUMPUR: Kedah dan Pahang tidak perlu diberi pengenalan kerana masing-masing sudah merasai asam garam bola sepak di kancah Piala Malaysia.

Apabila kedua-dua pasukan ini turun ke gelanggang di Stadium Darulaman, Alor Setar untuk saingan separuh akhir pertama, malam ini mereka mengerti apa ramuan sebenar diperlukan untuk menang.

Ketika ini Kedah pimpinan Tan Cheng Hoe kian terbang tinggi - menepati jolokan 'Helang Merah' selepas mengejutkan Kelantan di suku akhir.

Pemerhati dan peminat kini lebih bersuara ke arah kemenangan untuk Kedah tapi dalam bola sepak apa saja boleh berlaku dan pasukan tuan rumah seharusnya lebih berwaspada.

Pahang memiliki kelebihan dari pengalaman beraksi pada peringkat sama ini, tahun lalu - tambahan membawa status selaku juara bertahan.

Ketika ini, kedua-dua pasukan masing-masing memberi bayangan betapa yakin untuk menang dan faktor ini harus menjelmakan satu pertarungan sengit buat menghiburkan penonton.

Namun, ketika sama kedua-dua akur dengan kekuatan lawan dan tidak mahu lupa betapa penting fokus 90 minit dalam perlawanan nanti.

"Pahang kehilangan dua pemain penting (Dickson Nwakaeme dan Damion Stewart). Tapi ini tidak bererti Kedah ada satu kelebihan," kata ketua jurulatih Kedah, Cheng Hoe.

"Mereka sudah mendapat kembali Matias Conti (kembali daripada penggantungan) dan saya anggap mereka akan tetap turun sebagai satu barisan kuat.

"Saya cuma minta pemain mengulangi rentak dan semangat sama ketika menewaskan Kelantan di Alor Setar dalam suku akhir kedua lalu. Jika mereka dapat mengulanginya kami percaya satu keputusan positif dapat dicapai sekali lagi."

Pahang bukan calang-calang pasukan dan mampu menghukum benteng lawan jika lalai, terutama jika Conti menemui sentuhan tetapi ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan tetap terasa gerun terhadap kemajuan lawan ketika ini.

"Kami hormat Kedah kerana berjaya sampai ke tahap ini dan saya percaya lawan kami tidak mahu mensia-sia peluang untuk menang di gelanggang sendiri," katanya.

Dia menambah: "Mereka ada Billy Mehmet, Baddrol Bakhthiar dan Khyril Muhymeen Zamri untuk merancang kemenangan.

"Saya minta pemain jangan mengulangi kesilapan sama seperti dilihat pada perlawanan sebelum ini yang boleh membawa padah."

Kali terakhir kedua-dua pasukan ini bertemu adalah pada 2012 apabila Pahang menewaskan Kedah menerusi sepakan penalti dalam perlawanan play-off untuk layak ke Liga Super.

Pahang juga belum lagi berjaya menewaskan Kedah sejak 2005 di Alor Setar.

Berita Harian X