Sabtu, 1 November 2014 | 8:24pm

Sudarsono menang tanpa bertanding presiden FAS

KUCHING: Datuk Sudarsono Osman mengekalkan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) selepas menang tanpa bertanding pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) persatuan itu di sini, hari ini.

Beliau menyandang kerusi Presiden FAS selama tiga penggal sejak 2010. Timbalannya, Datuk Abu Bakar Marzuki turut mengekalkan jawatan mengalahkan bekas timbalan presiden, Datuk Paruwadi Musa, dalam pertandingan satu lawan satu.

Abu Bakar memperoleh 17 undi manakala Paruwadi mendapat lima undi. Pada pemilihan itu, tiga daripada lima Naib Presiden iaitu Razali Dolhan, Haidel Heli dan Sazali Abdul Rahman mengekalkan jawatan masing-masing manakala dua muka baharu ialah Duke Janteng dan Jamil Othman.

Jawatan Setiausaha Agung dan Bendahari akan dilantik oleh presiden.

Dalam pada itu, Sudarsono, yang juga naib presiden Persatuan Bola SepakMalaysia (FAM), berkata barisan kepimpinan baharu itu akan berusaha keras memantapkan pasukan negeri bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan.

Katanya, FAS sedang mengintai dua pemain import asing masing-masing seorang pemain penyerang dan seorang 'perancang' selain mengekalkan penyerang dari Australia, Ryan Griffiths dan Gabor Gyepes.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut nama negara dua pemain terbabit, tetapi sumber berkata pemain import Perak, Milan Purovic akan menyertai Sarawak untuk musim 2015 menggantikan pemain Bosnia, Muamer Salibasic.

"FAS terpaksa melepaskan Salibasic yang ditimpa kecederaan berpanjangan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco FAS pertamaselepas AGM.

Beliau berkata selain dua pemain terbabit, ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts juga akan turut menguji beberapa pemain import di sini semasa sesi latihan pasukan bermula 10 November ini.

Selain itu, Sudarsono berkata enam pemain import tempatan sudah pun menandatangani kontrak dengan FAS dan akan memulakan latihan.

Beliau yakin pasukan Sarawak akan lebih menyerlah dalam saingan musim 2015 berikutan pendekatan yang akan diambil FAS dalam memperkasakan pasukan.

"Kita tidak bernasib baik pada musim ini kerana beberapa pemain import kita ditimpa kecederaan dan tidak dapat bermain, namun pencapaian kita amat membanggakan apabila kita berjaya menduduki tempat ketujuh Liga Super," tambahnya.

Beberapa pemain utama seperti Junior Elstar berpindah ke Selangor, S Chanturu menyertai pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohd Lot Abu Hassan kepasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Mafri Balang yang turut berpindah ke Semenanjung.

Bagaimanapun, khabar baik untuk peminat Sarawak ialah pemain Sabah, Sabri Sahar, 22, hampir pasti akan menyertai Sarawak, begitu juga dengan Partiban K Janakesaran.

Dalam pada itu, dua pemain import tempatan, iaitu Faizal Abu Bakar dari Kedah dan Khairul Naim dari DRB-Hicom dijangka akan turut menyarung jersi Ngap Sayot musim depan. -BERNAMA

Berita Harian X