Isnin, 26 Januari 2015 | 1:07pm

Skuad Beng Hai lonjak nama Malaysia

PEMAIN-pemain Malaysia meraikan jaringan yang disumbangkan Faizal Saari (dua kanan) ketika perlawanan final Liga Hoki Dunia menentang Poland di Singapura, semalam. - Foto Bernama
PEMAIN-pemain Malaysia meraikan jaringan yang disumbangkan Faizal Saari (dua kanan) ketika perlawanan final Liga Hoki Dunia menentang Poland di Singapura, semalam. - Foto Bernama

SINGAPURA: Skuad hoki Malaysia yang dikenali dengan gelaran 'Speedy Tigers' melonjakkan nama negara apabila muncul juara Pusingan Kedua Hoki Liga Dunia (WHL) 2015 sekali gus meletakkan Malaysia pada kedudukan ranking ke-12 dunia.

Anak didik jurulatih Tai Beng Hai itu ternyata menunaikan janji yang dicanang sebelum ini, mahu menjadi juara ataupun sekurang-kurangnya dua pasukan terbaik pada kejohanan itu.

Malaysia memperoleh kejayaan itu selepas menundukkan Poland dengan mudah, 8-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Hoki Sengkang, semalam.

Kejayaan itu membawa Malaysia untuk mara ke saingan separuh akhir WHL yang dijadual berlangsung di Argentina atau Belgium, bersama-sama Poland dan pemenang tempat ketiga, Jepun.

Pada perlawanan penuh berprestij itu, pemain penyerang negara, Faizal Saari yang membuat penampilan ke-165 bermula sejak 2009, menerima anugerah pemain terbaik kejohanan dan penjaring terbanyak.

PENYERANG Malaysia, Faizal Saari bersama dua anugerah yang dimenanginya, Pemain Terbaik dan Penjaring Terbanyak kejohanan selepas skuad kebangsaan muncul juara pusingan kedua Hoki Liga Dunia 2015 di Stadium Hoki Sengkang, Singapura, semalam. - Foto Bernama
PENYERANG Malaysia, Faizal Saari bersama dua anugerah yang dimenanginya, Pemain Terbaik dan Penjaring Terbanyak kejohanan selepas skuad kebangsaan muncul juara pusingan kedua Hoki Liga Dunia 2015 di Stadium Hoki Sengkang, Singapura, semalam. - Foto Bernama

Faizal menjaringkan 12 gol sepanjang kejohanan berlangsung yang turut membariskan lapan pasukan iaitu tuan rumah, Singapura, Malaysia, Jepun, Oman, Ukraine, Bangladesh dan Mexico.

12 gol itu adalah himpunan daripada satu gol melawan Ukraine, dua gol ketika bertemu Oman, satu gol menewaskan Mexico, enam gol dalam aksi memalukan Singapura dan dua gol pada perlawanan akhir menentang Poland, semalam.

"Sebenarnya saya tak sangka dapat anugerah pemain terbaik sebab saya belum pernah dapat sebarang anugerah antarabangsa seperti ini.

"Saya bangga dengan kejayaan ini yang dicapai bersama pasukan yang memberikan satu komitmen bagus," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Faizal berkata beliau mahu pasukannya membuktikan 'taring' sebenar ketika beraksi pada separuh akhir WHL sebagai persediaan melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Sementara itu, perunding pasukan Malaysia, Neil Hawgood bersetuju bahawa Faizal seorang pemain berbakat dan perlu digilap untuk kejayaan masa depan.

"Beliau memerlukan masa... dalam beberapa tahun beliau akan lebih baik daripada ini. Secara keseluruhan, saya kagum dengan pencapaian Malaysia. Mereka menguasai perlawanan sejak awal.

"Buat permulaannya, saya tidak terfikir Malaysia boleh mengalahkan Poland 8-0, namun, pasti bahawa mereka akan menguasai perlawanan," katanya yang akan memulakan tugas sebagai perunding pasukan hoki negara pada Februari.

Mengulas mengenai misi seterusnya ke Belgium atau Argentina, Hawgood berkata jika Malaysia bermain seperti semalam (perlawanan akhir), skuad negara mempunyai peluang untuk berjaya. - Bernama

Berita Harian X