Jumaat, 29 Mei 2015 | 9:05pm

Dollah dalam dilema umum senarai 23 pemain

KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh. - Foto Osman Adnan
KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh. - Foto Osman Adnan

PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh mengakui dalam keadaan dilema untuk mengumumkan senarai akhir 23 pemain bagi menghadapi saingan Kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018.

Beliau berkata kesemua pemain disenaraikan sebelum ini, mempamerkan aksi cemerlang pada perlawanan persahabatan menentang kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur FC di Stadium Shah Alam pada Rabu lalu yang menyaksikan Pilihan Malaysia kalah 1-2.

Terbaharu, Dollah memanggil pemain ke-31 iaitu pemain sayap Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohd Nazrin Nawi yang melapor diri kepadanya untuk sesi latihan skuad berkenaan di Padang PKNS, Kelana Jaya, hari ini.

"Saya berhasrat menggugurkan beberapa pemain selepas aksi menentang Spurs tempoh hari, tetapi saya agak sukar hendak buat keputusan kerana masing-masing menepati apa yang saya mahukan.

"Saya terpaksa buat pemilihan semula. Kita ada 31 pemain, masa yang ada pun agak suntuk tapi saya harap dapat menyenaraikan 23 pemain terbaik nanti," kata Dollah kepada pemberita selepas sesi latihan skuad berkenaan.

Dalam pada itu, Dollah menyifatkan perlawanan persahabatan antarabangsa A menentang Hong Kong di Stadium Shah Alam, 6 Jun ini, penting dalam usaha menaikkan semula ranking Malaysia yang berada pada kedudukan ke-166 dunia dalam ranking terbaharu FIFA.

Selain itu, katanya perlawanan menentang pasukan Asia Timur itu adalah medan terbaik bagi memilih 23 pemain akhir ke pusingan kelayakan itu yang turut dijadikan Pusingan Kelayakan Piala Asia 2019.

Malaysia dijadual menentang Timor Leste pada 11 Jun ini, sebelum berdepan Palestin, lima hari kemudian dengan kedua-dua perlawanan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sementara itu, penyerang Selangor Afiq Azmi bertekad merebut tempat dalam senarai akhir 23 pemain walaupun sedar saingan sengit untuk mengisi posisi berkenaan daripada beberapa pemain berpengalaman seperti pemain Terengganu, Norshahrul Idlan Talaha dan pemain JDT Mohd Safee Mohd Sali.

Afiq, 26, sebelum ini digugurkan pada aksi menentang Spurs kerana Dollah dikatakan mahu memberi peluang kepada penyerang import Terengganu, Paulo Rangel dari Brazil untuk perlawanan persahabatan berkenaan.

"Kalau diberi peluang (beraksi), saya akan berusaha memberikan persembahan terbaik pada Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018. Saingan agak sengit, namun saya bersedia untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan kebangsaan," kata pemain tinggi lampai kelahiran Kangar, Perlis itu. - BERNAMA

Berita Harian X