Isnin, 7 September 2015 | 2:14pm

Ini tugas amat berat, sokonglah kami: Kim Swee

DATUK Ong Kim Swee dan Safiq Rahim (kanan). - Foto EPA
DATUK Ong Kim Swee dan Safiq Rahim (kanan). - Foto EPA

KELANA JAYA: Tiada jalan lain untuk memulihkan reputasi skuad Harimau Malaya yang tercalar selain memenangi aksi menentang Arab Saudi esok, kata Datuk Ong Kim Swee.

Hasrat besar itu diluahkan jurulatih sementara skuad kebangsaan itu ketika sidang media sebelum perlawanan keempat Kelayakan Piala Dunia 2018/ Piala Asia 2019 di Shah Alam, di sini, sebentar tadi.

"Sekalipun tugas itu amat berat, namun bagi saya tiada apa yang mustahil," katanya.

"Kita perlu menang,".

Mengakui sukar buat sesiapapun untuk melupakan kekalahan itu, Kim Swee yang baharu empat hari mengambil alih jawatan itu berkata, dia tidak akan memandang ke belakang dan fokus kepada aksi selepas ini.

"Kita tidak mahu pandang ke belakang. Mungkin empat hari masa yang singkat namun kita juga boleh mencipta sejarah esok," katanya.

"Bagi saya, yang lepas biar lepas. Apa yang saya janjikan pemain akan tampilkan karektor yang baik pada perlawanan ini nanti.

"Secara mental, saya percaya mereka sudah meningkat. Saya harap kami boleh bangkit dalam perlawanan nanti," katanya.

Kim Swee dilantik buat kali kedua selaku jurulatih sementara oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), bagi mengisi kekosongan ditinggalkan penyandang, Dollah Salleh.

Dollah meletakkan jawatan selepas kekalahan memalukan 10-0 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi, Khamis lalu.

Dalam pada itu, Kim Swee memohon kepada peminat jangan terus menghentam pemainnya dan mereka wajar diberikan peluang kedua untuk membuktikan diri mereka.

Mengulas aksi bertemu Arab Saudi yang ketika ini dibimbing bekas pengendali Belanda, Bert van Marwijk, Kim Swee tidak ambil pusing hal itu.

"Jika dia bukan jurulatih Piala Dunia pun, tekanan tetap ada dan kami sedar mereka juga salah satu pasukan gergasi di Asia Tengah.

"Kami sudah lakukan kerja rumah, lebih disiplin dan tidak fikirkan mengenai perkara lain seperti itu selain perlawanan.

"Jelas mereka lebih bagus dalam semua aspek namun ia tidak bermakna kita tidak boleh bersaing dengan mereka," katanya.

Berita Harian X