Ahad, 22 November 2015 | 5:01pm

Pengaruh Klopp makin beri kesan di Anfield

PENGENDALI Liverpool, Juergen Klopp. - Foto REUTERS
PENGENDALI Liverpool, Juergen Klopp. - Foto REUTERS

MANCHESTER: Pengaruh Juergen Klopp mula menampakkan kesan ketika Liverpool melakar kemenangan paling memberangsangkan musim ini dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan menumbangkan Manchester City 4-1, awal pagi tadi di Etihad.

Bos baharu Liverpool kelahiran Jerman itu memuji kemenangan itu sebagai 'sempurna' sebelum berkata banyak perkara yang positif boleh diambil daripada kemenangan terbabit.

Skuad bimbingan Klopp sudah pun menewaskan penyandang juara yang ketika ini bergelut, Chelsea 3-1 bulan lalu namun gol sendiri daripada Eliaquim Mangala diikuti gol daripada Philippe Coutinho dan Roberto Firmino meletakkan pelawat selesa di laman lawan ketika permainan memasuki minit ke-32.

Kehadiran penyerang berbisa City, Sergio Aguero sedikit mencemaskan apabila penyerang Argentina itu menjaringkan gol ketika permainan babak pertama hampir tamat namun perlawanan jelas milik Liverpool yang meledak gol tunggal babak kedua menerusi Martin Skrtel.

"Saya merasakan ia sempurna," kata Klopp kepada stesyen televisyen BBC. "Kami bermain dengan semangat yang tinggi dan itulah yang amat penting kepada kami.

"Apa yang lebih baik ialah kami boleh melakukan lebih baik. Kami mempunyai kualiti, kami mungkin menjaringkan lebih gol. Pemain-pemain boleh percaya kini mereka lebih kuat daripada ramai yang orang lain fikirkan.

"Kami mengambil peluang kami dan menjaringkan gol. Ia adalah gol yang menakjubkan," kata bekas pengendali Borussia Dortmund itu.

Sejak mengambil alih tugas daripada Brendan Rodgers, Klopp hanya tewas satu daripada lapan perlawanan dan kini mendaki ke kedudukan kesembilan liga selepas mengumpul 20 mata.

Ia hanya dibezakan dengan lapan mata daripada pendahulu, Leicester City. - REUTERS

Berita Harian X