Rabu, 9 Disember 2015 | 7:31am

Final Piala Malaysia terlalu besar buat saya: Firdaus

PENJAGA gol Kedah, Firdaus Mohamad (kiri) berlaga dengan Pemain FELDA United, Shahrul Saad yang terbaring dalam perlawanan Separuh Akhir pertama TM Piala Malaysia 2015 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, 2 Disember lalu. - Foto Osman Adnan
PENJAGA gol Kedah, Firdaus Mohamad (kiri) berlaga dengan Pemain FELDA United, Shahrul Saad yang terbaring dalam perlawanan Separuh Akhir pertama TM Piala Malaysia 2015 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, 2 Disember lalu. - Foto Osman Adnan

ALOR SETAR: Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu!

Itu mungkin ungkapan yang boleh menggambarkan perjalanan karier bola sepak penjaga gol Kedah, Firdaus Mohamed, yang kini berdepan detik gemilang, mengemudi benteng terakhir pasukan menentang Selangor di final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Detik gemilang Firdaus bermula selepas dipilih jurulatih, Tan Cheng Hoe bagi menggantikan penjaga gol utama sebelum ini, Abdul Hadi Abdul Hamid, yang menjalani pembedahan lutut.

Bagi bekas pemain Harimau Muda A dan B itu, perlawanan akhir Piala Malaysia mungkin pentas yang terlalu besar buatnya sebagai pemain yang baru berusia 21 tahun.

Walaupun tidak dapat menyembunyikan perasaan takut, penjaga gol yang berasal dari Pulau Pinang itu tetap memasang impian mendakap piala berprestij itu pada kemunculan sulung pada pertandingan itu.

"Sebelum ini, saya hanya berada di bangku simpanan dan ini adalah penampilan pertama sepanjang karier saya. Memang saya tidak boleh nafikan perasaan gementar tetap ada terutama untuk berdepan Selangor yang tampil selaku juara terbanyak Piala Malaysia.

"Apapun, saya cuba terapkan pengalaman ketika bersama Harimau Muda untuk membantu saya menyerap segala tekanan daripada penyokong dan juga situasi dalam padang pada aksi sebenar nanti," katanya.

Walaupun atas kertas, skuad Helang Merah dianggap masih mentah, Firdaus yang tampil watak penting buat pasukan pada peringkat kalah mati tidak mahu rakan sepasukannya terlalu menghormati pasukan lawan.

Untuk sasaran peribadi, Firdaus begitu mengharapkan trofi berkenaan sebagai permulaan lengkap pada awal kariernya di pentas senior selepas membantu pasukan mengungguli saingan Liga Perdana.

Pastinya, kejayaan menumpaskan FELDA United FC di pentas separuh akhir menjadi tonik buat Kedah untuk menjulang Piala Malaysia buat kali kelima.

"Walaupun ada rasa gementar, saya percaya sokongan keluarga dan rakan sepasukan dapat membantu saya untuk tampil cemerlang.

"Ini peluang kami untuk mengulangi pencapaian 2008. Saya harap adunan pemain muda, senior dan kelibat pemain import dapat menghadirkan sesuatu buat pasukan," katanya.

Berita Harian X