Khamis, 28 Januari 2016 | 8:51pm

SAFA adakan sesi bertemu peminat Sabtu ini

PENGURUS pasukan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
PENGURUS pasukan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

TAWAU: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) akan mengadakan sesi bertemu peminat skuad Liga Perdana Sabah di Kompleks Sukan Tawau di sini, Sabtu ini.

Ia sempena Kejohanan Bola Sepak Jemputan SAFA Tawau yang disertai tiga pasukan iaitu Sabah, skuad Liga Super FELDA United serta Brunei yang bermula malam esok hingga 31 Januari di Stadium Utama, Kompleks Sukan Tawau.

Pengurus pasukan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata sesi bertemu peminat bermula jam 2 hingga 4 petang itu turut menyaksikan sebanyak 1,000 tiket perlawanan Sabah menentang FELDA United pada Ahad ini diberikan secara percuma kepada peminat terawal hadir sesi berkenaan.

Katanya, antara program sampingan lain diadakan ialah persembahan nyanyian dan dan sesi bergambar bersama pemain yang dijangka dihadiri semua pemain utama skuad Sabah termasuk empat pemain import.

"Ini adalah antara usaha kita sebagai ucapan terima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong jatuh bangun pasukan ini," katanya di sini, sebentar tadi.

Kejohanan tiga penjuru itu adalah sebahagian persiapan skuad Sabah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2016 yang bakal bermula bulan depan.

Berita Harian X