Jumaat, 18 March 2016 | 7:43am

Hoo-Woon mara suku akhir badminton Terbuka Switzerland

BEREGU wanita utama negara, Vivian Hoo Kah Mun- dan Woon Khe Wei. - Foto BERNAMA
BEREGU wanita utama negara, Vivian Hoo Kah Mun- dan Woon Khe Wei. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Beregu wanita utama negara, Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei mara ke suku akhir Grand Prix Emas Terbuka Switzerland selepas mengetepikan pasangan England, Heather Olver-Lauren Smith 21-14, 19-21, 21-16.

Namun pilihan keempat itu terpaksa mengharungi perlawanan hampir sejam dalam perlawanan pusingan kedua mereka di Arena St Jakobshalle di Basel, semalam.

Hoo-Woon yang masih memburu gelaran pertama mereka musim ini akan berdepan pilihan kelapan, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai di suku akhir hari ini selepas pasangan Thailand itu menundukkan Kristina Gavnholt/Sabrina Mattle (Republik Czech /Switzerland) 21-14, 21-11.

Sementara itu, cabaran beregu lelaki negara yang mara ke separuh akhir Seluruh England minggu lalu, Goh V Shem-Tan Wee Kiong berakhir selepas tunduk 17-21, 14-21 kepada pasangan Denmark, Mathias Christiansen-David Daugaard di pusingan kedua.

Pasangan veteran negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pula akan menentang Puavaranukroh Dechapol-Kedren Kittinupong dari Thailand dalam perlawanan pusingan kedua mereka pada malam waktu tempatan (awal pagi waktu Malaysia).

Cabaran negara dalam acara perseorangan lelaki dan wanita berakhir di pusingan pertama selepas tewas kepada lawan masing-masing semalam. - BERNAMA

Berita Harian X