Jumaat, 29 April 2016 | 12:08pm

Nauraj tekad harumkan nama negara di Rio

Nauraj Singh Randhawa .
Nauraj Singh Randhawa .

KUALA LUMPUR: Atlet lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa yang memecahkan rekod kebangsaan sekali gus layak secara merit ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro semalam menyifatkan jurulatih baharu, Alex Stewart adalah faktor utama di sebalik kejayaannya itu.

Atlet berusia 24 tahun itu berkata, latihan bersama jurulatih itu di Australia banyak membantunya memperbaiki teknik lompatan sehingga membolehkannya menyamai had kelayakan ke temasya berprestij itu dan memecahkan rekod kebangsaan, Lee Hup Wei yang berusia enam tahun.

"Saya harap Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dapat membantu saya dalam memperbaiki lagi lompatan saya. Saya harap dapat melompat lagi tinggi di Brazil dan kalau boleh layak ke final," katanya ketika dihubungi.

Nauraj bukan sahaja memenangi pingat emas dalam acara itu pada Kejohanan Padang dan Balapan Terbuka Singapura ke-78, di Stadium Nasional, Singapura, semalam tetapi lompatan setinggi 2.29 meter yang dilakukannya membawanya ke Brazil secara merit.

Lebih manis, catatan yang dilakukan pada lompatan pertama di final itu juga memecahkan rekod kebangsaan 2.27 meter berusia enam tahun milik Lee Hup Wei.

Sementara itu, Presiden KOM, Datuk Karim Ismail menegaskan susulan kejayaan Nauraj layak secara merit ke Rio menyaksikan tiket 'wildcard' bagi atlet lelaki negara ke temasya itu sudah terhapus secara automatik.

"Syarat di dalam Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) sudah jelas memaklumkan jika tidak ada atlet layak secara merit, maka tiket wildcard secara automatik sudah terhapus. Jika ada atlet lelaki yang mahu ke Olimpik bersama Nauraj, mereka harus layak secara merit mengikut had kelayakan," katanya.

Karim berkata, pihaknya akan memberi ganjaran RM2,000 kepada Nauraj susulan kejayaan itu dan tidak menolak kemungkinan memberi ganjaran tambahan kepadanya berdasarkan keputusan Ahli Majlis KOM.

Berita Harian X