Jumaat, 29 April 2016 | 7:04pm

Khairy sedia tunaikan permintaan Nauraj

NAURAJ menunjukkan pingat emas yang dimenanginya pada sidang media sebaik tiba di Casa 1, MSN, hari ini. - Foto Osman Adnan
NAURAJ menunjukkan pingat emas yang dimenanginya pada sidang media sebaik tiba di Casa 1, MSN, hari ini. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Atlet lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa yang layak secara merit ke Olimpik Rio menerima perkhabaran gembira apabila permintaannya untuk kembali menjalani latihan di Australia sebagai persiapan sebelum temasya berprestij itu mendapat perhatian serius Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Khairy, berkata beliau sudah mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mempertimbangkan permintaan atlet berusia 24 tahun itu dan secara dasarnya tiada masalah untuk Nauraj berkelana ke Australia bagi menimba pengalaman sebelum ke Rio de Janeiro, Brazil.

"Saya gembira dengan kejayaan Nauraj kerana dia bukan saja layak secara merit ke Olimpik tetapi turut memecahkan rekod kebangsaan. Nauraj ada meminta pertolongan kepada kami untuk menghantar dia sekali lagi menjalani latihan di Australia bagi mendapatkan pengalaman sebelum Olimpik.

"Saya sudah mengarahkan MSN untuk meneliti perkara berkenaan dan saya fikir permintaannya itu boleh diterima," kata Khairy ketika sidang media selepas majlis memperkenalkan dua pemandu Malaysia, Nabil Jeffri dan Akash Neil Nandy yang akan beraksi dalam perlumbaan GP2 dan GP3 musim ini, di sini, hari ini.

Nauraj menjadi atlet pertama olahraga negara yang layak ke Olimpik tahun ini secara merit apabila memenangi pingat emas pada Terbuka Singapura dengan lompatan setinggi 2.29 meter.

Lebih manis, catatan itu turut memadamkan rekod kebangsaan 2.27 meter berusia enam tahun milik Lee Hup Wei.

Selepas kejayaannya itu, Nauraj berharap MSN dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dapat menghantarnya kembali menjalani latihan ke Australia bersama jurulatih, Alex Stewart yang disifatkan sebagai faktor utama pencapaiannya itu.

Mengulas lanjut, Khairy berkata pengalaman yang bakal diraih Nauraj apabila beraksi di Olimpik tahun ini pastinya mampu menjadi bekalan terbaik bagi atlet berkenaan bersaing dalam Sukan Asia dan Sukan Komanwel 2018.

"Bagus untuk Nauraj apabila dia layak ke Olimpik. Pengalamannya itu boleh membuatkan dia beraksi pada tahap terbaik pada Sukan Asia dan Sukan Komanwel," katanya.

NAURAJ menjadi atlet pertama olahraga negara yang layak ke Olimpik tahun ini secara merit apabila memenangi pingat emas pada Terbuka Singapura dengan lompatan setinggi 2.29 meter.
NAURAJ menjadi atlet pertama olahraga negara yang layak ke Olimpik tahun ini secara merit apabila memenangi pingat emas pada Terbuka Singapura dengan lompatan setinggi 2.29 meter.

Berita Harian X