Sabtu, 4 Jun 2016 | 9:54pm

Khairul Hafiz menang emas 100m di Vietnam

KUALA LUMPUR: Pelari pecut muda negara, Khairul Hafiz Jantan merangkul pingat emas acara 100 meter pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia ke-17 di Ho Chi Minh City, Vietnam, hari ini.

Atlet dari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) itu mencatatkan 10.36 saat bagi mengenepikan cabaran Ippei Takeda dari Jepun yang menduduki tangga kedua dengan kepantasan 10.41s dan Abdullah Abkar Mohammed dari Arab Saudi (10.45s).

PELARI pecut muda negara, Khairul Hafiz Jantan. - Foto Osman Adnan
PELARI pecut muda negara, Khairul Hafiz Jantan. - Foto Osman Adnan

Kepantasan dicatatkan atlet berusia 18 tahun itu menyaksikan dia turut berjaya memperbaiki rekod terbaik peribadi iaitu 10.41s yang dicatatkan di Kejohanan Olahraga Terbuka Filipina, April lalu.

Bagaimanapun, harapan peminat olahraga negara untuk melihat seorang lagi pelari pecut, Badrul Hisyam Abdul Manap menaiki podium tidak kesampaian apabila hanya mampu menduduki tangga kelima dengan catatan 10.54s.

Sebagai rekod, kejohanan yang membuka tirai semalam dan dijadualkan berakhir Isnin ini disertai seramai 22 atlet kebangsaan.

Berita Harian X