Khamis, 9 Jun 2016 | 7:38am

387 acara temasya Sukan Para ASEAN 2017

KUALA LUMPUR: Sejumlah 16 jenis sukan akan dipertandingkan pada temasya Sukan Para ASEAN (APG) 2017 yang dihoskan Malaysia pada Ogos tahun depan, menurut Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF).

Sebanyak 387 pingat emas akan ditawarkan dalam 387 acara yang dipertandingkan dalam 16 jenis sukan.

Sukan berkenaan dicadang dan dipersetujui pada mesyuarat Lembaga Gabenor ke-15 APSF, yang dipengerusikan oleh Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) SM Nasaruddin SM Nasimuddin di sini.

Acara sukan yang dipertandingkan pada sukan edisi kesembilan itu ialah renang, olahraga, badminton, bola kerajang (kerusi roda), boccia, catur, berbasikal (speda) jalanan, trek berbasikal, bola sepak lima dan tujuh sebelah, bola gol, pelayaran, ping pong, tenpin boling, tenis (kerusi roda), bola tampar (duduk) dan powerlifting.

"Kami bersedia membawa pengurusan temasya sukan ini ke tahap yang lebih tinggi serta menyediakan sistem sokongan sesuai bagi atlet beraksi dalam persekitaran yang membolehkan mereka menampilkan persembahan terbaik," kata SM Nasaruddin dalam kenyataan.

Kementerian Belia dan Sukan dan MPM sebelum ini mencadangkan untuk mengadakan APG dan Sukan SEA ke-29 serentak.

"Cadangan tersebut kini menunggu kelulusan akhir daripada pihak berkuasa sukan negara-negara anggota," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X