Jumaat, 12 Ogos 2016 | 12:33pm

Olimpik: Nauraj mahu jadi atlet negara pertama ke final

ATLET lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa. - Foto BERNAMA
ATLET lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa. - Foto BERNAMA

RIO DE JANEIRO: Atlet lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa mempunyai impian untuk menjadi atlet Malaysia pertama di trek dan padang melangkah ke final Sukan Olimpik.

Atlet berusia 24 tahun itu kini bersiap sedia untuk memenuhi impiannya itu apabila acara berkenaan dipertandingkan pada temasya Olimpik Rio di sini, Ahad ini.

Menerusi pencapaian hebatnya mencatat rekod kebangsaan 2.29 meter (m) daripada 2.24m sejak menjalani sesi latihan selama tiga bulan di Sydney, Australia tahun ini, Nauraj percaya prestasinya meningkat dengan pantas, sekalung penghargaan buat jurulatih sementara dari Australia, Alex Stewart.

Beliau yang layak ke Rio secara merit dengan catatan rekod 2.29m pada Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura April lalu, kini bersedia untuk memecahkan rekod kebangsaan dan menempatkan diri ke final.

Nauraj memecahkan rekod 2.27m berusia lapan tahun yang dicatatkan oleh Lee Hup Wei pada Terbuka China 2008 dan seterusnya layak ke Olimpik Beijing 2008.

"Saya sedar keupayaan saya boleh pergi jauh selepas menjalani latihan dengan Alex. Saya belajar dan mendapat manfaat daripada latihan itu dan ingin menunjukkan peningkatan di sini," katanya di Perkampungan Sukan di sini, semalam.

Atlet tinggi lampai 193cm dari Johor itu berkata, mara ke final bukanlah sesuatu yang mudah berdasarkan pencapaian 2.29m beliau, memandangkan sembilan atlet pada acara di Rio itu telah melepasi catatan 2.31m untuk menjadi 12 terbaik pada final.

Beliau juga mengharapkan kejayaan pada pusingan kelayakan dan persiapan terakhirnya selama lima minggu dengan Alex baru-baru ini akan digunakan sebaiknya di sini.

Setibanya di sini empat hari lalu, Nauraj berkata beliau hanya berlatih di trek pemanas badan di Stadium Olimpik di Egenho de Dentro, 24km dari sini.

"Saya suka trek itu dan berharap ia sama seperti di venue pertandingan," tambahnya. - BERNAMA

Berita Harian X