Jumaat, 16 Disember 2016 | 7:57pm

Mohd Poad bawa atlet pecut berlatih di Ranau

JURULATIH, Mohd Poad Md Kassim. - Foto Rasul Azli Samad
JURULATIH, Mohd Poad Md Kassim. - Foto Rasul Azli Samad

KUALA LUMPUR: Empat atlet pecut negara iaitu Khairul Hafiz Jantan, Badrul Hisham Abdul Manap, Muhammad Azam Masri dan Muhammad Haikal Hanafi dijemput menjalani latihan bersama atlet Sabah di Kompleks Sukan, Ranau, Sabah pada 21 hingga 29 Disember ini.

Mereka akan ditemani oleh jurulatih, Mohd Poad Md Kassim.

Sesi latihan selama sembilan hari itu yang ditanggung sepenuhnya dinamakan Program Latihan Bersama Atlet Pecut Negara dan Klinik Acara Pecutan. Ia dianjurkan bersama Persatuan Olahraga Negeri Sabah (SAA), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negeri Sabah serta Institut Sukan Negeri Sabah.

Program itu membabitkan dua fasa dengan fasa pertama bermula pada 21 hingga 27 Disember, iaitu latihan bersama atlet Program Pembangunan Negeri Sabah dan Elit, seterusnya ke fasa kedua menerusi Klinik Acara Pecutan Terbuka yang dibuka kepada semua atlet dan jurulatih negeri berkenaan.

Jurulatih Olahraga Sabah, Dzul Fikar Awang Anak, berkata Mohd Poad dan empat atletnya itu dijemput agar dapat membantu pembangunan olahraga di negeri berkenaan, memberi input serta mengasah bakat atlet agar dapat berkembang ke peringkat lebih tinggi.

"Selepas saya dapat tahu Mohd Poad dan empat atlet tidak dapat berlatih di Baguio, Filipina, saya berbual dengan seorang ahli perniagaan, Mohamat Hassan mengenai masalah itu dan dia bersetuju untuk menaja segala perbelanjaan termasuk pengangkutan, makanan serta tempat tinggal di sini (Sabah).

"Mereka akan berada di Sabah bermula Rabu ini dan terbabit dalam dua fasa, pada fasa pertama, 16 atlet dari program pembangunan dan elit akan berlatih di Kompleks Sukan, Ranau mengikut program latihan masing-masing. Kami juga memberi kebenaran secara langsung kepada Mohd Poad untuk menegur semua atlet jika melakukan kesilapan.

"Dalam fasa dua pula, Mohd Poad pula akan mengendalikan Klinik Acara Pecutan dan dia akan dibantu beberapa jurulatih lain selama dua hari," kata Dzul Fikar yang juga seorang pensyarah di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau kepada BH Sukan.

Sementara itu, Mohd Poad bersyukur dan berterima kasih atas tajaan diberikan kepadanya dan empat atlet lain serta menyifatkan hasratnya memberikan suasana latihan baharu kepada anak didiknya menjadi kenyataan.

"Sebelum ini kita berhasrat untuk berlatih di luar negara iaitu di Baguio, Filipina, namun atas beberapa sebab ia tidak dapat diteruskan. Jadi latihan di Ranau amat berguna kerana ia dapat mengubah suasana latihan selain ia berada di tempat tinggi yang sesuai untuk ketahanan atlet.

"Di sana nanti pun akan diadakan klinik jadi kami akan turut membantu," katanya.

Berita Harian X