Sabtu, 31 Disember 2016 | 11:17am

Murray, Farah dapat gelaran Sir

JUARA Wimbledon, Andy Murray dan pemenang pingat emas Olimpik, Mo Farah.
JUARA Wimbledon, Andy Murray dan pemenang pingat emas Olimpik, Mo Farah.

LONDON: Juara Wimbledon, Andy Murray dan pemenang pingat emas Olimpik, Mo Farah masing-masing akan menerima penganugerahan Kesatria yang membawa gelaran Sir pada Anugerah Tahun Baharu.

Anugerah Kesatria adalah penutup musim impian buat Murray yang menamatkan saingan tahun ini selaku pemain tenis nombor satu dunia buat pertama kali sekali gus mengatasi pencabar utamanya, Novak Djokovic.

Pemain kelahiran Scotland berusia 29 tahun itu menjulang gelaran Wimbledon keduanya pada Julai lalu sebelum mengekalkan pingat emas di pentas Olimpik serta memenangi gelaran pertama Jelajah ATP Final yang mengakhiri takhta Djokovic.

Murray yang sebelum ini pernah dianugerahkan OBE pada 2012 menjadi bapa pada Februari lalu selain dinamakan Personaliti Sukan BBC buat tahun ketiga berturut-turut, awal bulan ini.

"Jelas ia adalah anugerah terbesar yang kamu boleh terima di negara ini. Namun saya berfikir saya terlalu muda untuk sesuatu seperti itu," kata Murray sebelum pengumuman itu dibuat, semalam.

"Apabila saya memenangi anugerah atau diberikan apa saja, ia adalah sesuatu yang baik kerana ia adalah pengiktirafan atas apa yang kamu berikan dalam kehidupan sehingga ke hari ini.

"Saya masih muda dan masih ada banyak perkara yang boleh menjadi tidak betul. Saya masih boleh menjadi tidak terurus dan melakukan kesilapan. Saya hanya cuba melakukan apa yang saya lakukan, bekerja keras dan meraih sesuatu."

Farah menerima anugerah Kesatria itu selepas mengekalkan pingat emas Olimpik dalam acara lari 5,000 meter (m) dan 10,000m di Rio, Brazil untuk muncul atlet olahraga pertama dari Britain memenangi empat pingat emas di pentas tertinggi itu.

Pelari kelahiran Somalia berusia 33 tahun itu sudah pun dianugerahkan gelaran CBE atas kejayaannya di London 2012.

"Saya amat gembira untuk dianugerahkan gelaran menakjubkan dari negara yang menjadi tempat tinggal saya sejak saya berpindah ke sini pada usia lapan tahun," kata Farah.

"Lihat kembali kepada budak lelaki yang tiba dari Somalia, tidak tahu bercakap bahasa Inggeris, saya tidak pernah memikirkan apa yang akan saya jadi pada hari ini. Ia adalah mimpi jadi kenyataan." - AFP

Berita Harian X