Rabu, 11 Januari 2017 | 6:29pm

Chong Wei mula rasa terlalu penat - Hendrawan

HENDRAWAN (kiri) dan Chong Wei. - Foto NSTP
HENDRAWAN (kiri) dan Chong Wei. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, sudah mula memikirkan mengenai masa depan dalam kerjaya badmintonnya dan keputusan pada Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, Ogos depan bakal menjadi penentu.

Jurulatih perseorangan lelaki, Hendrawan percaya sama ada pemain nombor satu dunia itu akan terus beraksi atau sebaliknya bakal diketahui selepas tamat kejohanan di Glasgow.

"Jujur saya katakan, Chong Wei ada beritahu saya yang dia sudah mula merasakan dirinya semakin berusia dan dia rasa terlalu penat. Dia tanya kepada saya ketika usia berapa saya bersara dan kenapa.

"Saya jawab saya bersara disebabkan masalah kecederaan dan saya sudah tiada lagi kemahuan beraksi dalam kejohanan utama seperti Piala Thomas atau Kejohanan Dunia.

"Namun, untuk Chong Wei saya beritahu dia, jika dia merasakan dirinya masih ada kemahuan dia boleh teruskan.

"Dalam hal ini, dia sudah meletakkan sasaran untuk beraksi di Kejohanan Dunia dan itu perlu menjadi fokus utamanya," katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Astro Arena di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hendrawan, berkata pemain berusia 35 tahun itu tidak perlu untuk terlalu memikirkan perkara lain sebaliknya fokus terhadap sasaran bagi meraih gelaran juara dunia buat kali pertama.

"Apa yang paling penting adalah sasaran dia di Kejohanan Dunia. Apa yang terjadi di Kejohanan Dunia nanti akan menentukan semuanya.

"Jika dia berjaya menjadi juara dunia, pasti orang tidak akan bercakap mengenai dirinya lagi sama ada bersara atau tidak. Ketika itu nanti jika dia mahu meneruskan kerjayanya sehingga Olimpik Tokyo 2020 pun orang tidak akan persoalkan," kata Hendrawan.

Berita Harian X