Rabu, 18 Januari 2017 | 9:53pm

Skuad ragbi negara ke Australia timba pengalaman

KUALA LUMPUR: Perlawanan persahabatan di Perth, Australia bulan depan mampu meningkatkan persefahaman antara pemain baharu dan lama dalam skuad ragbi tujuh sebelah (7's) lelaki menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini.

Pasukan bimbingan Mohd Saizul Hafifi Md Noor itu dijadual berlepas ke Perth pada 7 Februari ini untuk menyertai beberapa siri perlawanan persahabatan di sana, termasuk bersama kelab yang ditubuhkan sejak 1934, Palmyra.

Perlawanan itu adalah antara program dirancang untuk fasa 2 latihan dan yang pertama untuk tahun 2017 dalam usaha merealisasikan visi utama pasukan memburu pingat pertama negara di Sukan SEA.

"Pasukan akan menyertai dua perlawanan persahabatan dan satu kejohanan di sana nanti," kata Mohd Saizul ketika dihubungi BH Sukan.

"Ini adalah persiapan bagi meneruskan momentum perlawanan. Kami berharap standard di sana (pasukan di Australia) tak mengecewakan kerana kita tahu Australia mempunyai pasukan yang bagus," katanya.

Pencapaian terbaik skuad ragbi 7's kebangsaan ialah pingat perak, termasuk kali terakhir di Sukan SEA Singapura 2015.

Pada perlawanan final yang berlangsung di Stadium Choa Chu Kang ketika itu, Malaysia tewas kepada Filipina 24-7.

"Kami akan cuba dapatkan pingat emas, apatah lagi kali ini beraksi di tempat sendiri. Kami mengharapkan sokongan semua pihak untuk mendapatkan pingat emas pertama negara di Sukan SEA," kata Mohd Saizul.

Untuk temasya di Kuala Lumpur nanti, skuad negara hanya menyenaraikan enam muka lama yang pernah beraksi di Singapura manakala baki pemain adalah muka baharu yang dipilih berdasarkan prestasi semasa.

"Pasukan ini sudah mula bersama sejak September lalu. Sehingga hari ini, saya dapat lihat (pemain) yang baharu semakin serasi dengan yang lama, dan begitu juga sebaliknya.

"Saya harap pemain baharu cepat belajar daripada (pemain) yang lama," kata ketua jurulatih itu yang akan memilih 12 pemain akhir daripada 16 senarai pemain sedia ada untuk disenaraikan ke Sukan SEA nanti.

Berita Harian X