Selasa, 31 Januari 2017 | 2:33pm

MSN Melaka, POAM `gantung tak bertali' atlet pecut

PELARI pecut, Badrul Hisyam Abdul Manap. - Foto Rasul Azli Samad
PELARI pecut, Badrul Hisyam Abdul Manap. - Foto Rasul Azli Samad

KUALA LUMPUR: Atlet pecut negara, Badrul Hisyam Abdul Manap, memohon Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka dan Persatuan Olahraga Amatur Melaka (POAM) melepaskannya dan dua lagi rakan secara profesional dengan segera, bagi membolehkan mereka mewakili negeri lain.

Ini berikutan dua negeri telah membuat tawaran bagi mendapatkan khidmat atlet berusia 20 tahun itu serta rakannya, iaitu Khairul Hafiz Jantan dan Asnawi Hashim, selain jurulatih mereka, Mohd Poad Md Kassim.

"Saya harap Melaka dapat melepaskan kami secara profesional kerana pihak pengurusan pun ada banyak benda hendak buat.

"Apa pun saya harap semua pihak dapat memahami situasi kami ketika ini," kata Badrul Hisyam ketika dihubungi BH Sukan.

Sementara itu, Mohd Poad mengesahkan, ketika ini terdapat dua negeri yang mahukan khidmat mereka, namun enggan mengulas lanjut.

Katanya, selagi surat pelepasan kepada atlet tidak diterima daripada MSN Melaka dan POAM, pihaknya tidak boleh berbuat apa-apa, namun berharap perkara itu dapat disegerakan.

"Dua negeri ini masing-masing mempunyai kelebihan kerana mereka menawarkan pelbagai jenis elaun, makanan tambahan, elaun untuk sertai kejohanan serta insentif kemenangan.

"Tapi saya terkilan kerana MSN Melaka belum menyerahkan surat pelepasan walaupun atlet sudah hantar surat itu pada awal bulan lalu.

"Kami tidak mahu menuntut apa-apa daripada Melaka, cuma apa kami harapkan ketika ini hanyalah surat pelepasan," katanya.

Terdahulu, media melaporkan sikap sambil lewa, tidak bertanggungjawab dan sering mengabaikan keperluan atlet, mendorong pemegang rekod 100 meter negara, Khairul Hafiz memohon meninggalkan MSN Melaka dan POAM.

Berita Harian X