Ahad, 19 Februari 2017 | 7:31am

Bale cetus impak selepas pulih

GARETH Bale. - Foto REUTERS
GARETH Bale. - Foto REUTERS

MADRID: Gareth Bale mencetus impak segera selepas kembali daripada kecederaan ketika Real Madrid melebarkan penguasaan La Liga kepada tiga mata dengan kemenangan 2-0 ke atas Espanyol, awal pagi tadi.

Bale yang hanya baru 13 minit di atas padang selepas tiga bulan diketepikan kerana masalah ligamen lutut melaungkan kepulangannya dengan gol menarik yang terhasil menerusi gerakan serangan balas pada minit ke-83.

Alvaro Morata terlebih dulu meletakkan Real di depan apabila dia merembat padu bola hantaran lintang Isco 12 minit sebelum berakhir separuh masa pertama.

"Saya gembira untuk kembali berada di atas padang. Untuk menjaringkan gol adalah satu bonus tambahan dan saya amat gembira kerana dapat membantu pasukan menang.

"Saya melalui tempoh yang sukar tetapi apabila anda mendapat sambutan hangat sebegitu ia menjadikannya cukup bermakna, " kata Bale.

Zinedine Zidane membuat tujuh pertukaran berbanding skuad yang menundukkan Napoli 3-1 dalam aksi Liga Juara-Juara, Rabu lalu sebagai persiapan berdepan jadual sibuk La Liga ke Valencia dan Villarreal.

Morata menjadi antara pemain yang diberikan peluang beraksi dalam kesebelasan utama dengan Karim Benzema diketepikan dalam pertemuan terbabit.

Penyerang antarabangsa Sepanyol itu tidak diturunkan sebagai pemain utama pada lima aksi terakhir liga, tetapi segera memikat hati Zidane dengan jaringan ke-11 dirinya musim ini juga menerusi hantaran Isco.

Namun, ketenangan Bale dalam menyudahkan peluang yang terhidang menunjukkan betapa penyokong Real merindui kelibatnya.

"Kami hanya mempunyai satu Gareth Bale. Kami gembira untuk melihat Bale kembali bersama pasukan. Dia adalah pemain yang istimewa, dia memberikan kami sesuatu berbanding yang lain, " Zidane.

Sementara itu, Sevilla memintas Barcelona - yang hanya akan turun beraksi pada malam ini menentang Leganes - ke kedudukan kedua La Liga menerusi kejayaan menewaskan Eibar 2-0.

Stevan Jovetic muncul ayam tambatan pasukan apabila dua gerakannya membantu Pablo Sarabia dan Vitolo, masing-masing menjaringkan gol buat Sevilla pada minit ke-30 dan 90.

AFP

Berita Harian X