Rabu, 1 March 2017 | 9:40pm

Chong Wei tak perlu paksa diri - Norza

 TIMBALAN Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. - Foto NSTP
TIMBALAN Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria tidak mahu Datuk Lee Chong Wei memberikan tekanan kepada dirinya sendiri apabila beraksi pada saingan Seluruh England bermula 7 Mac ini, di Birmingham.

Norza berkata, pemain nombor satu dunia itu perlu memastikan dirinya pada tahap terbaik bagi menghadapi Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, Ogos depan.

"Sudah pasti saya gembira apabila Chong Wei dapat beraksi di Seluruh England. Dia sudah tidak beraksi dalam kejohanan kompetitif sejak hujung tahun lalu (Siri Super Akhir) dan Seluruh England ini akan menjadi kejohanan utama pertamanya dan memang sudah ada dalam perancangan.

"Namun, kejohanan ini akan menghimpunkan seluruh pemain terbaik dunia, jadi saya mahu dia tidak terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri. Fokus satu demi satu kerana fokus utama adalah Kejohanan Dunia," kata Norza yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CTC).

Peluang Chong Wei untuk ke Birmingham sebelum ini hampir tertutup apabila dia mengalami kecederaan lutut pada 4 Februari lalu selepas tergelincir akibat lantai permukaan gelanggang Akademi Badminton Malaysia (ABM) licin.

Bagaimanapun, selepas hampir sebulan menjalani proses pemulihan, Chong Wei diberi lampu hijau untuk beraksi di Seluruh England sekali gus menghidupkan kembali misi memburu gelaran keempat kejohanan berprestij itu.

Ditanya mengenai Projek Khas dan perselisihan antara Chong Wei dengan Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen, Norza berkata semuanya berjalan dengan lancar.

"Tugas sudah dibahagikan membabitkan jurulatih perseorangan lelaki, Hendrawan, Morten dan CTC yang akan dipantau oleh Datuk Ng Chin Chai.

"Mereka mengadakan mesyuarat semalam dan saya difahamkan semuanya berjalan dengan baik," katanya.

Berita Harian X