Jumaat, 3 March 2017 | 7:33pm

Malaysia sertai skuasy berpasukan remaja wanita di NZ

KUALA LUMPUR: Malaysia adalah antara 14 negara yang akan mengambil bahagian pada Kejohanan Skuasy Berpasukan Remaja Wanita Dunia ke-17 di Tauranga, New Zealand dari 25 hingga 29 Julai ini.

Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) dalam kenyataannya hari ini berkata negara lain yang turut mengesahkan penyertaan adalah Australia, Kanada, England, Perancis, Jerman dan Hong Kong.

Selain itu, turut bertanding India, Ireland, Korea Selatan, Afrika Selatan, Amerika Syarikat, juara bertahan Mesir dan tuan rumah, New Zealand.

Mesir adalah kuasa utama kejohanan ini dengan menjuarainya sebanyak tujuh kali pada 1999, 2003, 2007, 2009, 2011, 2013 dan 2015.

Pencapaian terbaik Malaysia di kejohanan ini adalah naib juara pada 2001 dan 2007. - BERNAMA

Berita Harian X