Ahad, 5 March 2017 | 6:11pm

Malaysia mudah benam Oman

FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

KUALA LUMPUR: Skuad hoki negara terus mempamerkan belang apabila mencatat kemenangan besar 6-1 ke atas Oman dalam saingan Kumpulan A Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia (WHL2) di Stadium Hoki Maulana Bhasani, Dhaka, Bangladesh, sebentar tadi.

Ia kemenangan kedua berturut-turut dilakar skuad kendalian Stephen Van Huizen selepas menewaskan Bangladesh 3-0 dalam aksi pembukaan, semalam.

Kejayaan itu meletakkan Malaysia - pasukan pilihan utama kejohanan di landasan tepat untuk mara ke suku akhir sebagai juara Kumpulan A selepas menghimpun enam mata meskipun aksi kumpulan masih berbaki satu perlawanan berdepan pasukan tangga terbawah Fiji, Selasa ini.

Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Ab Jalil dan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi sekali lagi membuktikan pemilihan mereka ke dalam pasukan sebagai langkah tepat selepas menyumbat dua gol.

Perlawanan tadi turut menyaksikan Oman mengutip tiga kad hijau dan satu kuning, berbanding Malaysia 'bersih' tanpa kad.

Pesta Malaysia Tigers bermula seawal minit ke-11 menerusi jaringan padang Shahril Saabah.

Razie Rahim mengukuhkan cengkaman negara berselang 15 minit kemudian namun kali ini menerusi penyudah pukulan sudut penalti.

Belum sempat lawan di ranking ke-31 dunia itu menyusun semula permainan di suku ketiga, Tengku Ahmad Tajuddin dan Nik Muhammad Aiman masing-masing menjaringkan gol ketiga dan keempat negara pada minit ke-33 dan 42.

Oman bagaimanapun sebelum itu berjaya merapatkan jurang apabila mendapat gol tunggal hasil percubaan padang Al Lawati Mohammed pada minit ke-37 sebelum Tengku menjadikan kedudukan 5-1 pada minit ke-48.

Nik Muhammad Aiman melengkapkan gol keduanya dan gol keenam pasukan tujuh minit sebelum wisel penamat sekali gus membuktikan betapa pasukan kerdil itu bukan tandingan sebenar negara yang berada 18 anak tangga di depan Oman dari segi ranking dunia.

Terdahulu, China gagal mengekalkan rentak kemenangan pada aksi kedua Kumpulan B apabila diikat oleh Mesir 2-2 dengan Ghana menewaskan Sri Lanka 5-4.

Keputusan Kumpulan A

Malaysia...6 Oman...1

Kumpulan B

Ghana...5 Sri Lanka...4

Mesir...2 China...2

Jadual Esok

Kumpulan A

Malaysia mln Fiji, 11.15pg

Bangladesh mln Oman, 6ptg

Kumpulan B

China mln Sri Lanka, 1.30tghari

Ghana mln Mesir, 3.45ptg

Berita Harian X