Rabu, 7 Jun 2017 | 3:40pm

6 pemain intai dua slot Malaysia Tigress ke Brussels

Fatin Naimah Zaki
Fatin Naimah Zaki

KUALA LUMPUR: Kurang lima hari sebelum berlepas menghadapi kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia (WHL) di Brussels, Belgium, 21 Jun hingga 2 Julai depan, pastinya membuatkan enam pemain skuad hoki wanita tidak tidur lena.

Ini kerana hanya dua daripada enam pemain - Fatin Naimah Zaki, Nur Zafirah Aziz, Noraslinda Said, Surizan Awang Noh, Rabiatul Adawiyah Mohamed dan Nurul Safiqah Mat Isa - bakal dipilih melengkapkan senarai 18 pemain yang akan menggalas cabaran negara di Brussels.

Berdasarkan prestasi terkini, Fatin Naimah, Nur Zafirah dan Noraslinda berpeluang cerah disenaraikan berbanding tiga rakan pemain, terutama selepas persembahan di Jelajah Eropah tempoh hari.

Sekiranya terpilih, Fatin Naimah berjanji untuk tampil dengan aksi bermati-matian, tatkala menganggap peluang untuk ke Piala Dunia 2018 mungkin hanya hadir sekali seumur hidup saja.

"Sebenarnya setiap pemain mempunyai peluang yang seimbang kerana keenam-enam kami sudah memberikan yang terbaik ketika latihan. Menjadi impian setiap pemain untuk membantu Malaysia melayakkan diri kali pertama ke Piala Dunia.

"Cuma, saya ada sedikit keyakinan (untuk disenaraikan) kerana mempamer banyak peningkatan. Jika nak dibandingkan dulu, saya kini lebih berani ke depan untuk melakukan sesuatu dalam kawasan 23 kaki lawan," katanya selepas sesi latihan malam tadi.

"Sudah tentu saya akan beri lebih dari 200 peratus, lagipun kita hanya mensasarkan satu kemenangan daripada aksi kumpulan untuk mara ke suku akhir.

"Dalam aksi yang akan berlangsung di Stade Fallon nanti, Belgium dan Sepanyol dianggap antara pasukan yang boleh ditewaskan oleh Malaysian Tigress, berbanding Australia serta New Zealand iaitu dua lawan yang lebih kuat dalam Kumpulan B berkenaan," kata Fatin Naimah.

Berita Harian X