Sabtu, 1 Julai 2017 | 12:02am

Zii Jia mara separuh akhir Terbuka Taiwan

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia. - Foto Mohd Fadli Hamzah
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia. - Foto Mohd Fadli Hamzah

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara yang sedang meningkat, Lee Zii Jia meneruskan aksi cemerlang dengan mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Terbuka Taiwan.

Dalam saingan suku akhir di Taipei Arena, Daerah Songshan, hari ini pemain muda itu sekali lagi beraksi cemerlang dengan mengalahkan Khosit Phetpradab dari Thailand yang juga pemain pilihan kelapan kejohanan itu.

Dalam saingan pusingan ketiga semalam, Zii Jia menewaskan pemain pilihan ke-16, Siril Verma dari India.

Menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF) www.bwfbadminton.com, Zii Jia berjaya menumpaskan Khosit dengan 21-19 dan 21-16 dalam perlawanan sengit selama 41 minit.

Pemain berusia 19 tahun itu dijadual bertemu pilihan utama kejohanan yang menduduki ranking keenam dunia, Chou Tien Chen, dari Taiwan yang sebelum itu menang mudah ke atas rakan senegara, Lin Yu Hsien 21-15 dan 21-11 untuk menempah tiket ke separuh akhir.

Sementara itu, pemain profesional negara, Liew Daren, pula terpaksa akur dengan kehebatan permainan Jeon Hyeok Jin dari Korea Selatan setelah tumpas 13-21, 21-18 dan 14-21 dalam perlawanan selama 67 minit.

Turut mara ke separuh akhir ialah pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, yang juga meneruskan aksi cemerlang dengan menewaskan pemain tuan rumah, Pai Yu Po dengan set terus 21-15, 21-17.

Jin Wei akan bertemu pemain Jepun, Haruko Suzuki yang menewaskan Kim Ga Eun dari Korea Selatan dengan 21-8, 21-17.

Gandingan Chooi Kah Ming/Low Juan Shen pula terpaksa berhempas-pulas untuk menewaskan Choi Solgyu/Kim Jae Hwan dari Korea Selatan dengan 14-21, 22-20 dan 28-26 dalam saingan suku akhir beregu lelaki.

Mereka akan bertemu beregu tuan rumah dan pilihan kedua kejohanan, Chen Hung Ling/Wang Chi-lin, yang menempah tiket ke separuh akhir selepas menewaskan rakan senegara, Lee Sheng Mu/Lin Chia Yu, 21-19 dan 21-9.

Bagaimanapun, kemaraan beregu wanita negara, Lim Yin Loo/Yap Cheng Wen tersekat selepas tewas 21-17, 12-21 dan 15-21 kepada beregu Korea Selatan, Chae Yoo Jung/Kim So Yeong.

BERNAMA

Berita Harian X