Isnin, 3 Julai 2017 | 8:40pm

Poad tidak khuatir kehadiran Cray


DARI kanan; Quek Lee Yong, Khairul Hafiz Jantan dan Badrul Hisyam Abdul Manap menunjukkan kasut PUMA Netfit Technology pada majlis pelancaran PUMA Netfit Technology yang diadakan di Arena Bar KL, Wisma KEN, TTDI. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR: Kehadiran juara bertahan acara pecut 100 meter (m) Eric Cray dari Filipina pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) tidak merisaukan jurulatih negara, Mohd Poad Md Kassim.

Poad sebaliknya optimis kehadiran pemenang pingat emas di Singapura dua tahun lalu itu akan memberikan saingan lebih baik buat anak didiknya, Khairul Hafiz Jantan.

Jelasnya, apa yang mahu dilihat adalah Khairul Hafiz mencapai kemuncak prestasi di KL2017 yang kini hanya berbaki 46 hari saja lagi, sebelum membuka tirai secara rasmi pada Ogos ini.

"Kalau Eric sertai KL2017, ia bukan satu masalah kerana sebagai seorang jurulatih, saya memang mahukan anak didik saya bersaing dengan atlet yang lebih baik kerana mereka boleh cipta catatan masa untuk pergi lebih jauh.

"Dari segi psikologi pula, saya memahami Khairul Hafiz dan saya sentiasa ingatkan dia, berpesan kepadanya yang kita mahu lihat dia sampai kemuncak prestasi ketika Sukan SEA," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kasut Baharu PUMA, Netfit Technology di sini, hari ini.

Selain Khairul Hafiz, turut hadir pada majlis berkenaan ialah atlet olahraga negara Badrul Hisyam Abdul Manap dan Quek Lee Yong.

Untuk rekod, Cray adalah pemenang pingat emas acara 100m di Singapura 2015 dengan catatan 10.25s manakala rekod kebangsaan milik Khairul Hafiz adalah 10.18s yang dicipta di Sukan Malaysia (SUKMA), Sarawak pada Julai 2016.

Catatan masa terbaik Khairul musim ini ialah 10.31s yang dilakukan ketika meraih pingat emas di Terbuka Thailand, bulan lalu.

Lewat malam ini, Khairul Hafiz bersama rakan atlet lain akan bertolak ke Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) ke-22 di Bhubaneswar, India dan dia dijangka beraksi dalam acara 100m serta 4x100m.

Mengulas mengenai ATF minggu ini, jaguh pecut negara itu meletakkan sasaran untuk melakukan yang terbaik iaitu mencipta masa sekitar 10.20s dalam acara 100m.

ATF India dijadikan kejohanan untuk menguji kemampuan atlet sebelum menyertai KL2017, yang dijadual bermula pada 19 hingga 30 Ogos depan.

Berita Harian X