Selasa, 11 Julai 2017 | 12:22pm

KL2017: Malaysia mampu raih 10 emas olahraga

KUALA LUMPUR: Berdasarkan persediaan dan prestasi semasa barisan atlet olahraga negara, Malaysia mampu meraih sekurang-kurangnya 10 pingat emas dalam acara itu pada temasya Sukan SEA ke-29 di sini, bulan depan.

Keyakinan itu disuarakan oleh bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad yang optimis dengan kemampuan atlet negara pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bermula 19 hingga 30 Ogos ini.

Pemenang pingat emas acara 100m dan 200m Sukan SEA Vietnam pada 2003 itu berkata, ia berdasarkan perbandingan prestasi semasa atlet negara dengan pencabar dari negara lain.

"Dengan kemampuan atlet seperti Rayzam Shah Wan Sofian (110m lari berpagar), Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Jackie Wong (baling tukul besi lelaki), Grace Wong Xiu Wei (baling tukul besi wanita) dan Zaidatul Husniah Zulkifli (100m wanita) memecahkan rekod kebangsaan tahun ini, tidak mustahil mereka boleh menyumbang emas.

"Prestasi konsisten ditunjukkan atlet lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa dan Lee Hup Wei, atlet lompat kijang, Muhammad Hakimi Ismail dan atlet lompat jauh, Luqman Hakim Ramlan juga memberi bayangan mereka mampu menambah kilauan emas," katanya kepada Bernama.

Nazmizan, yang kini bertugas sebagai timbalan pengarah di Pusat Sukan Universiti Malaysia Perlis, turut yakin kemunculan semula jaguh jalan kaki negara, Yuan Yu Fang di pentas Sukan SEA selepas kali terakhir beraksi pada temasya sama di Vientiane, Laos lapan tahun lalu mampu menambah bilangan pingat emas.

"Dengan pengalaman dimiliki Yu Fang, tidak mustahil kejuaraan akan berada dalam genggamannya sekali gus merekodkan pencapaian pingat emas Sukan SEA kelapan sepanjang karier dalam acara kegemarannya," katanya.

Mengulas mengenai peluang dalam acara pecut, Nazmizan berkata, jaguh pecut sensasi negara, Khairul Hafiz Jantan perlu lebih konsisten jika mahu merangkul pingat emas dalam acara 100m dan 200m, sekali gus bergelar Raja Pecut Asia Tenggara.

Selepas meleburkan rekod kebangsaan dengan catatan 10.18s, mengatasi catatan 10.30s milik Watson Nyambek, 18 tahun lalu, pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Kuching, tahun lalu, catatan masa Khairul Hafiz dalam acara 100m tidak begitu memberangsangkan.

"Beliau perlu memanfaatkan masa yang ada untuk memperbaiki catatan dan seterusnya berada pada tahap terbaik," katanya.

Katanya, secara tradisi, acara olahraga sentiasa menjadi tumpuan kerana ia adalah lubuk emas menerusi 46 pingat emas yang ditawarkan pada temasya dwitahunan itu kali ini.

"Jika kita mahu ulangi pencapaian gemilang muncul juara keseluruhan di laman sendiri seperti Sukan SEA 2001, skuad olahraga perlu memainkan peranan mengutip seberapa banyak emas sekali gus menebus kehampaan prestasi buruk dicatatkan pada Sukan SEA Singapura 2015," kata Nazmizan. - BERNAMA

Berita Harian X