Rabu, 12 Julai 2017 | 6:23pm

Pemain tenis perlu tingkat kekuatan mental

PENGURUS pasukan tenis negara, Mohamad Helmi Mohamad (dua dari kiri) bersama Muliyadi Jamal (dua dari kanan) dan pemain tenis, negara, Ahmed Deedat Abdul Razak (kanan) dan Jawairiah Noordin pada sidang media Kita Juara di Casa, Bukit Jalil. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
PENGURUS pasukan tenis negara, Mohamad Helmi Mohamad (dua dari kiri) bersama Muliyadi Jamal (dua dari kanan) dan pemain tenis, negara, Ahmed Deedat Abdul Razak (kanan) dan Jawairiah Noordin pada sidang media Kita Juara di Casa, Bukit Jalil. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR: Skuad tenis negara yang akan beraksi di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) mampu melakar kejutan andai berjaya mengatasi isu kelemahan mental.

Jurulatihnya, Muliyadi Jamal berkata, di atas kertas, lima pemain lelaki dan lima pemain wanita mempunyai ranking yang lebih rendah berbanding pemain negara jiran Thailand, Indonesia dan Filipina.

"Mengikut analisa yang saya lakukan, tahap keyakinan pemain kita kurang berbanding pemain luar yang akan berjuang sehingga ke penamat kerana mereka mempunyai kekuatan mental," katanya dalam sidang media program Kita Juara di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, hari ini.

Katanya, dia turut mengatur sesi latihan perundingan bagi setiap pemain bersama khidmat pakar psikologi yang berpengalaman, selain mendapat bantuan Institut Sukan Negara (ISN) bagi membantu mengatasi kelemahan mental.

"Saya tahu ini tugas yang berat buat pemain negara, namun saya masih mengharapkan kejutan memandangkan kita mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri," katanya yang turut meletakkan kejohanan Terbuka Kuala Lumpur, 26 hingga 30 Julai ini, sebagai medan gambaran awal kemampuan pemain yang akan beraksi dengan semua negara peserta di KL2017.

Jika pencapaian terbaik pada Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur apabila beregu wanita negara - Khoo Chin Bee dan Tan Lyn Yin berjaya merangkul pingat perak, Muliyadi berkata dia mengharapkan kejayaan sama mampu diraih apabila bermain di tempat sendiri.

Muliyadi berkata, dia mensasarkan sekurang-kurangnya pingat gangsa dengan peluang terbaik dalam acara beregu lelaki dan beregu wanita.

"Peluang kita tetap ada, namun ia semua bergantung kepada keadaan fizikal dan mental pemain ketika perlawanan," katanya.

Berita Harian X