Jumaat, 24 April 2015 | 10:20pm

8 cedera letupan bom di Narathiwat, Pattani

LAPAN orang cedera dalam letupan bom di Narathiwat dan Pattani hari ini. - Foto bangkokpost
LAPAN orang cedera dalam letupan bom di Narathiwat dan Pattani hari ini. - Foto bangkokpost

PATTANI/NARATHIWAT: Lapan orang cedera dalam letupan bom di Narathiwat dan Pattani hari ini.

Dalam kejadian di Narathiwat, seorang bapa dan tiga anaknya, yang berumur empat, enam dan lapan tahun cedera ringan apabila bom meletup ketika mereka dalam perjalanan dari rumah ke padang sukan, menunggang motosikal.

Ketua Polis Daerah Takbai, Kolonel Jiradej Prasawang, kejadian pada 8.15 pagi itu membabitkan bom buatan sendiri yang dipasang dalam tong gas memasak seberat 20 kg yang ditanam di tepi jalan meletup setelah diaktifkan dengan walkie talkie.

"Sebutir lagi bom yang ditemui 60 meter dari tempat kejadian pertama seberat 10 kg dapat dimusnahkan skuad pemusnah bom," katanya.

Sementara itu di daerah Mayo, Pattani, sebutir bom buatan sendiri meletup di tepi jalan Mayo-Tungyangdaeng menyebabkan empat pegawai keselamatan yang terdiri daripada dua anggota rela dan dua anggota tentera cedera ringan dalam satu insiden awal pagi.

Ketua Polis Daerah Mayo, Kolonel Jiraseth Dao-ngentrakul, berkata tiga meter dari tempat kejadian itu pihak keselamatan menjumpai sebutir lagi bom yang dipasang dalam tong gas seberat 20 kg dan ia berjaya dimusnahkan.

"Pihak keselamatan juga menemui dua lagi bom seberat 50 kg di bawah jambatan, iaitu 100 meter dari tempat kejadian letupan bom itu dan turut berjaya memusnahkannya," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X