Khamis, 14 Mei 2015 | 7:32am

6 terkorban pesawat kecil terhempas di Mexico

CIUDAD JUAREZ: Enam orang terkorban apabila sebuah pesawat kecil terhempas di utara Mexico dan pihak berkuasa sedang menyiasat punca nahas, kata pegawai hari ini.

Penduduk tempatan mendakwa lelaki bersenjata bertanggungjawab menembak jatuh pesawat kecil berkenaan.

Pesawat Cessna itu ditemui di kawasan anak sungai lewat semalam dalam bandar Urique terletak di pergunungan wilayah Chihuahua dekat Sinaloa.

Pejabat Pendakwa Raya wilayah Chihuahua berkata, juruterbang dan lima lelaki lain adalah antara mangsa yang terkorban.

Sehubungan itu, beberapa penduduk memberitahu pesawat itu ditembak jatuh oleh kumpulan bersenjata.

Mereka berkata, kartel dadah Sinaloa dan Juarez bertelingkah di wilayah itu pada beberapa hari lalu dan kumpulan berkenaan menghalang orang ramai daripada melarikan diri dengan kapal terbang.

Sementara itu, sebuah pesawat yang membawa 45 kilogram ganja terhempas di Chihuahua menyebabkan seorang terkorban. - AFP

Berita Harian X