Rabu, 3 Jun 2015 | 3:17pm
LEBIH 200 sekolah rendah ditutup hari ini ketika Korea Selatan bergelut mengawal penularan wabak Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS). - Foto EPA
LEBIH 200 sekolah rendah ditutup hari ini ketika Korea Selatan bergelut mengawal penularan wabak Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS). - Foto EPA

MERS: Lebih 200 sekolah rendah Korea Selatan ditutup

SEOUL: Lebih 200 sekolah rendah ditutup hari ini ketika Korea Selatan bergelut mengawal penularan wabak Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) yang sudah menjangkiti 30 individu, membunuh dua individu dan mencetuskan kebimbangan kalangan rakyat negara itu.

Menteri Pendidikan, Hwang Woo-Yea, berkata sebanyak 209 sekolah rendah ditutup sementara dan menggesa ketua pendidikan daerah memastikan keselamatan setiap pelajar.

"Jangkitan dalam kalangan pelajar harus dicegah...kita perlu langkah-langkah yang lebih proaktif di sekolah berbanding di tempat lain," kata Hwang.

Ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meramalkan jangkitan akan terus merebak, Presiden Park Geun-Hye mengadakan mesyuarat tergempar bersama pegawai tinggi kesihatan dan pakar perubatan untuk merancang strategi kuarantin.

Sementara itu, lima kes baharu dilaporkan semalam, menjadikan ia penularan terbesar di luar Arab Saudi di mana virus berkenaan sudah meragut lebih 400 nyawa sejak 2012.

Dengan jangkitan baharu dilaporkan setiap hari, penularan wabak itu menyebabkan penduduk Korea Selatan cemas sehingga ramai yang membeli penutup hidung dan cecair pembersih tangan.

Berpuluh acara awam dibatalkan manakala lebih 1,360 orang terdedah secara langsung atau tidak langsung kepada virus itu, dikuarantin pada tahap berbeza-beza.

Dua kematian dilaporkan setakat ini - seorang wanita berusia 58 tahun dan seorang lelaki berusia 71 tahun. - AFP

Berita Harian X