Jumaat, 29 Julai 2016 | 10:51am

Banjir di Nepal, India sudah ragut lebih 90 nyawa

ANGGOTA Tentera Nepal melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa banjir di daerah Nawalparasi. - Foto EPA
ANGGOTA Tentera Nepal melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa banjir di daerah Nawalparasi. - Foto EPA

KATHMANDU: Banjir dan tanah runtuh di Nepal dan India sudah meragut lebih 90 nyawa, dengan sekurang-kurangnya dua juta penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.

Nepal paling teruk terjejas, dengan rumah dan jambatan musnah beberapa hari selepas dilanda musim tengkujuh walaupun paras air semakin surut.

"Sejak Isnin, 73 maut dalam banjir dan tanah runtuh. Pasukan penyelamat bekerja berterusan di kawasan terjejas untuk mencari dan menyelamat. Kami juga menyediakan bantuan kepada mangsa," kata timbalan jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Jhanka Nath Dhakal.

Imej disiarkan tentera yang terbabit dalam operasi, menunjukkan penduduk kampung menunggu di atas bumbung untuk dipindahkan dengan bot.

Daerah paling teruk terjejas adalah Pyuthan, 250 kilometer ke barat Kathmandu, yang menyaksikan puluhan rumah dihanyutkan.

Ramai maut setiap tahun akibat banjir dan tanah runtuh ketika musim tengkujuh di Nepal dan India.

Keadaan semakin terdesak tahun ini kerana jutaan penduduk Nepal masih tinggal dalam khemah atau pondok selepas gempa bumi yang meragut hampir 9,000 nyawa pada 2015.

Banjir turut melanda negeri terpencil, Assam, di India yang menyaksikan 19 terkorban terutama selepas sungai melimpahi tebing minggu lalu.

"Dianggar dua juta penduduk kehilangan tempat tinggal selepas banjir melanda 3,000 kampung di 21 daerah," kata Ketua Menteri Assam, Sarbananda Sonowal, ketika melawat kawasan terjejas. - Agensi

Berita Harian X