Isnin, 5 September 2016 | 7:38am

'Nenek Nazi' dipenjara kali kedua kerana nafi penghapusan etnik

Ursula Haverbeck. yang digelar 'nenek Nazi' oleh media Jerman sekali lagi disabitkan atas kesalahan menafikan penghapusan etnik dan dihukum penjara selama lapan bulan. - Foto Getty Image
Ursula Haverbeck. yang digelar 'nenek Nazi' oleh media Jerman sekali lagi disabitkan atas kesalahan menafikan penghapusan etnik dan dihukum penjara selama lapan bulan. - Foto Getty Image

DETMOLD: Seorang ahli neo-Nazi terkenal yang digelar 'nenek Nazi' oleh media Jerman sekali lagi disabitkan atas kesalahan menafikan penghapusan etnik dan dihukum penjara selama lapan bulan.

Mahkamah negeri di Detmold, Jerman mengumumkan, pada Jumaat lalu bahawa Ursula Haverbeck, 87, merancang untuk merayu keputusan itu.

Haverbeck menulis satu surat kepada Datuk Bandar Detmold, pada Februari lalu ketika seorang bekas pengawal kem Auschwitz sedang dibicarakan dengan mendakwa kem maut Nazi itu hanyalah sebuah kem buruh.

Di Jerman, sesiapa yang secara terbuka menafikan dan menyokong atau merendahkan pembunuhan beramai-ramai warga Yahudi ketika rejim Adolf Hitler boleh dihukum penjara maksimum lima tahun.

Pada 2015, Haverbeck pernah disabitkan dengan tuduhan menafikan penghapusan etnik dengan kenyataan hampir sama dalam satu temu bual di luar perbicaraan seorang bekas pengawal Auschwitz di Lueneburg.

Beliau dihukum penjara 10 bulan dalam kes itu tetapi masih bebas kerana rayuannya dibicarakan. Kedua-dua pengawal kem terbabit disabitkan atas beberapa tuduhan terbabit dalam pembunuhan dan mereka kini memfailkan rayuan.

Haverbeck yang juga kawan kepada Gudrun Burwitz, anak perempuan kepada Ketua S S Nazim, Heinrich Himmler dihukum atas tuduhan hasutan kerana satu temu bual beliau dengan stesen televisyen. Ketika itu, beliau menafikan orang Yahudi dibunuh dalam kem.

Dalam satu temu bual dengan rangkaian media ARD, beliau mendakwa kem maut Auschwitz Nazi di Belanda, lokasi sekurang-kurangnya 1.1 juta orang dibunuh 'hanyalah sebuah kem buruh'.

Kira-kira enam juta orang termasuk Yahudi, golongan homoseksual, kaum Gipsi, individu cacat dan beberapa golongan minoriti lain yang ditindas dibunuh ketika era penghapusan etnik berkenaan.

Kira-kira 1.1 juta orang kebanyakannya warga Yahudi Eropah dibunuh antara tahun 1940 dan 1945 di kem Auschwitz-Birkenau sebelum mereka dibebaskan. - Agensi

Berita Harian X