Khamis, 23 Februari 2017 | 7:22pm

Putera Naruhito sedia jadi simbol negara

Putera Naruhito
Putera Naruhito

TOKYO: Putera Mahkota Jepun, Putera Naruhito yang menyambut ulang tahun ke-57 hari ini, berikrar untuk mengikut jejak langkah bapanya menjadi simbol negara, sekiranya Maharaja Jepun itu turun dari takhta.

Naruhito yang juga pewaris pertama takhta Jepun, bakal mengambil alih takhta daripada Maharaja Akihito.

Ogos tahun lalu, Akihito, 83, melahirkan hasratnya untuk turun takhta kerana masalah kesihatan, selain faktor usia yang mengehadkan kemampuannyauntuk melaksanakan tugas.

Berikutan itu, kerajaan Jepun berbincang untuk mewujudkan undang-undang khas bagi membolehkan Akihito meletak jawatan.

"Saya akan terus berdoa, bersedia, berkongsi kegembiraan dan kesedihan dengan orang ramai," kata Naruhito dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena ulang tahunnya.

Akihito adalah Maharaja Jepun pertama yang turun takhta sejak Maharaja Kokaku berbuat demikian kira-kira 200 tahun lalu.

Sementara itu, media melaporkan pegawai kerajaan merancang majlis turun takhta pada akhir 2018, iaitu apabila Akihito berusia 85 tahun, selain sempena pemerintahannya yang ke-30 tahun.

Panel kerajaan yang mengkaji isu turun takhta sebelum ini, mengelak membincangkan lain-lain isu hangat seperti sama ada wanita sepatutnya dibenarkan mewarisi takhta berikutan kebimbangan masalah pewaris takhta.

Ketika ini, hanya lelaki dibenarkan mewarisi takhta di Jepun.

Naruhito menyatakan bersikap terbuka untuk berbincang mengenai kaedah terbaik memastikan sistem pewarisan itu sesuai dengan era moden.

"Peranan keluarga diraja berubah dari satu era ke era yang lain, kerana setiap era baharu membawa perubahan," katanya.

Akihito mempunyai dua anak lelaki, namun hanya seorang daripada empat cucunya adalah lelaki. - AP

Berita Harian X