Selasa, 13 Jun 2017 | 10:09pm

Naruhito abdi diri jadi Maharaja Jepun

Putera Mahkota Jepun Naruhito. - Foto AFP
Putera Mahkota Jepun Naruhito. - Foto AFP

TOKYO: Putera Mahkota Jepun Naruhito hari ini berikrar akan mengabdikan 'jiwa dan raganya' menjalankan tugas sebagai Maharaja Jepun.

Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas satu undang-undang digubal bagi membolehkan ayahandanya, Maharaja Akihito turun takhta, kali pertama oleh seorang maharaja Jepun dalam tempoh dua abad.

Maharaja Akihito, 83 yang pernah menjalani pembedahan jantung dan rawatan kanser prostat berkata dalam ucapan awam jarang dilakukan tahun lalu, faktor usia menyukarkan baginda untuk terus melaksanakan tugasnya.

Parlimen Jepun Jumaat lalu menggubal undang-undang yang membenarkan Akihito turun takhta dan digantikan Naruhito, 57, sama ada akhir 2018 atau awal 2019.

Akihito, maharaja pertama yang tidak pernah dianggap 'tuhan', berkhidmat berpuluh tahun di Jepun atau luar negara bagi meredakan kebencian terhadap negara itu akibat Perang Dunia Kedua, sekali gus membersihkan nama ayahandanya, Maharaja Hirohito.

Naruhito yang begitu terharu dengan tindakan ayahandanya itu turut berikrar untuk meneruskan legasi Akihito.

"Maharaja melaksanakan tugasnya dengan begitu lama dan mengambil serius semua perkara dengan penuh komited, berkhidmat dengan penuh ikhlas sebagai simbol kepada rakyat dan memainkan peranan yang sepatutnya dilaksanakan seorang maharaja," kata Naruhito ketika mengadakan lawatan ke Denmark.

Naruhito, seorang pelajar pengangkutan yang menyokong alam sekitar serta menggesa lebih ramai lelaki menjadi bapa berkebolehan, akan menjadi maharaja Jepun pertama menerima ijazah universiti, iaitu daripada Universiti Gakushuin, Tokyo. - Reuters

Berita Harian X