Ahad, 12 Oktober 2014 | 4:19pm

Empat orang awam maut dalam letupan bom di Myanmar

YANGON: Empat orang awam termasuk seorang kanak-kanak lelaki 12 tahun terbunuh dan beberapa orang lagi cedera dalam letupan bom di kawasan sesak di timur Myanmar.

Kejadian berlaku semalam di negeri Karen berhampiran sempadan Thai, yang menyaksikan pertempuran sejak beberapa minggu lalu di antara tentera dan kumpulan serpihan pemberontak mewakili penduduk minoriti Karen.

"Satu letupan berlaku di jalan raya yang terletak antara bandar Kawkareik dan Myawaddy pagi semalam.

"Tiga lelaki dan seorang budak lelaki berusia 12 tahun terbunuh. Dua lagi mangsa wanita dan lapan lelaki mengalami kecederaan," kata seorang pegawai polis.

Setakat ini pihak polis belum mengetahui siapa yang meletupkan bom berkenaan.

Menurut saksi, sebutir bom meletup ketika sekumpulan penumpang kereta meninggalkan kenderaan mereka apabila ia dihalang oleh lori rosak di jalan raya berkenaan.

Penduduk tempatan berkata serangan itu mungkin ada kaitan dengan pertempuran terbaru di antara tentera dengan pemberontak daripada Persatuan DemokratikKaren Budhhist (DKBA), iaitu kumpulan serpihan Kesatuan Kebangsaan Karen. - AFP

Berita Harian X