Rabu, 22 Oktober 2014 | 4:14pm
Presiden Indonesia, Joko Widodo menjawab soalan daripada wartawan di pekarangan luar Istana di Jakarta semalam, hari pertamanya sebagai presiden selepas mengangkat sumpah Isnin lalu. - Foto AFP
Presiden Indonesia, Joko Widodo menjawab soalan daripada wartawan di pekarangan luar Istana di Jakarta semalam, hari pertamanya sebagai presiden selepas mengangkat sumpah Isnin lalu. - Foto AFP

Panggil saya Jokowi, kata Presiden Indonesia

JAKARTA: Presiden baharu Indonesia, Joko Widodo berkata beliau mahu dipanggil dengan nama gelarannya, Jokowi, dan mendedahkan siapa yang memberi nama itu kepadanya: seorang pembeli perabot dari Perancis.

Widodo, yang mengangkat sumpah sebagai presiden Isnin lalu, sudah lama dikenali sebagai Jokowi, singkatan daripada dua namanya.

Ditanya oleh wartawan akhbar 'The Jakarta Post' bagaimana beliau ingin dipanggil, katanya, 'Joko' bunyinya agak janggal, dan 'Mr Widodo atau Presiden Widodo' agak pelik.

"Presiden Jokowi," katanya, bagi mereka yang ingin menyebut jawatan rasminya.

"Kalau tidak, Jokowi pun memadai," tambah beliau.

Akhbar 'Kompas daily' memetiknya sebagai berkata seorang lelaki Perancis memberi nama itu ketika membeli perabot daripada Jokowi pada zaman beliau berniaga sebelum menyertai politik pada 2005.

Akhbar itu menyatakan lelaki itu, yang dikenali sebagai 'Bernard', menemui Jokowi Isnin lalu di Jakarta dan menunjukkan gambar mereka berdua.

Presiden sebelum ini, Susilo Bambang Yudhoyono lebih dikenali dengan singkatan namanya, SBY.

Abdurrahman Wahid, seorang lagi presiden, sering dipanggil Gus Dur. Gus bermakna 'abang lebih tua; manakala 'Dur' diambil daripada Abdurrahman.

Sesetengah pemimpin asing dan pegawai sudah pun merujuk kepada presiden ketujuh itu sebagai Jokowi, begitu juga media tempatan dan asing. - AP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X