Selasa, 9 Disember 2014 | 9:26am
Beginilah keadaan rumah di mana sebuah jet eksekutif terhempas di Gaithersburg, Maryland semalam yang mengorbankan tiga penumpang pesawat termasuk juruterbangnya dan tiga lagi orang di dalam rumah terbabit. - Foto EPA
Beginilah keadaan rumah di mana sebuah jet eksekutif terhempas di Gaithersburg, Maryland semalam yang mengorbankan tiga penumpang pesawat termasuk juruterbangnya dan tiga lagi orang di dalam rumah terbabit. - Foto EPA

Enam terbunuh dalam nahas pesawat di Maryland

MARYLAND: Sebuah jet eksekutif terhempas ke atas sebuah rumah di Maryland semalam, mengakibatkan semua tiga penumpang pesawat terbabit terbunuh, serta mengorbankan seorang ibu dan dua anaknya di dalam rumah berkenaan.

Mengikut rekod, juruterbang pesawat yang maut dalam nahas itu pernah terbabit dalam nahas lain ketika hendak mendarat di lapangan terbang sama pada 2010.

Pesawat 'Embraer SA Phenom 100' yang mempunyai dua enjin itu terhempas ke atas sebuah rumah kira-kira 1.6 kilometer dari Landasan Montgomery di Gaithersburg di pinggir Washington.

Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan, pesawat itu didaftar atas nama Michael Roseberg, seorang Profesor Adjung Epidemiologi di Universiti North Carolina, Chapel Hill dan Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat penyelidikan klinikal, 'Health Decisions Inc'.

Menurut rekod Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB), pada 2010, pesawat yang dipandu Rosenberg terhempas berhampiran tempat kejadian semalam, walaupun ketika itu tiada kecederaan dilaporkan.

Kejadian pada 2010 berlaku di Landasan Montgomery, juga destinasi Roseberg semalam apabila beliau hilang kawalan ketika hendak mendarat dan terhempas ke atas pokok.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Montgomery, Pete Piringer dalam Twitternya berkata kejadian semalam mengorbankan Roseberg yang menerbangkan pesawat itu dan dua penumpang lain, serta seorang ibu dan dua anaknya di rumah di mana pesawat itu terhempas.

Kejadian itu mencetuskan kebakaran yang memusnahkan dua rumah dan tiga lagi mengalami kerosakan.

Piringer berkata anggota bomba berjaya mengawal kebakaran tetapi terdapat sebahagian daripada minyak pesawat berkenaan mengalir ke anak sungai berdekatan.

Jurucakap NTSB berkata pesawat itu berlepas dari lapangan terbang kampus di Chapel Hill pada jam 9.30 pagi.

Pihaknya kini sedang menyiasat punca kejadian. - Reuters

Berita Harian X